Monday, May 5, 2014

CONTOH LAPORAN KEM BINA INSAN GURU

LAPORAN KEM BINA INSAN GURU SIRI 6/2010
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS DARULAMAN

PENGENALAN

Untuk membina insan guru yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta cemerlang dalam semua aspek, seseorang guru itu perlulah menjalani latihan dari segi mental dan fizikal yang bersesuaian sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran profession perguruan masa kini. Bertunjangkan kepada objektif pendidikan negara yang menginginkan insan guru yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya tahan, maka, bakal guru diwajibkan untuk mengikuti Program Bina Insan Guru (BIG) bagi memenuhi syarat mendapat Diploma Perguruan Malaysia.
Maka pada tanggal 12 Julai 2010 sehingga 15 Julai  2010, pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 dan seorang pelajar KDPM/KDC telah menjalani program Bina Insan Guru siri ke-6 untuk tahun 2010 yang telah dijalankan di Tapak Perkhemahan Sri Banai selama 4 hari 3 malam. Pelajar yang terlibat dalam program kali ini ialah dari kelas KPLI Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual. Program ini disertai seramai 35 orang peserta yang mana terdiri daripada 12 orang pelajar lelaki dan 23 orang pelajar perempuan dari pelbagai kaum, iaitu Melayu, Cina, dan India.
Program ini berada di bawah jagaan Kem Komandan iaitu Encik Nashri bin Yaakob serta Ketua Jurulatih iaitu Encik Zulkifli bin Mat Isa.Turut serta dalam program ini ialah mentor bagi kedua-dua kumpulan iaitu Puan Majdah binti Mohammad, mentor bagi kumpulan Pendidikan Islam, dan Tuan Haji Badarudin bin Yeop, mentor bagi kumpulan Pendidikan Seni Visual. Dengan adanya program ini, diharapkan para pelajar KPLI Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual dapat membentuk peribadi seorang insan guru yang berwawasan, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
       Di samping itu, diharapkan pelajar KPLI Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual dapat menjadi modal insan yang mantap dari aspek kerohanian dan nilai etika keguruan yang selaras dengan norma-norma kehidupan serta dapat meningkatkan daya ketahanan dan  membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran semasa untuk mencapai cita-cita murni membentuk peribadi seorang insan yang berwawasan seterusnya membantu merealisasikan wawasan negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


LAPORAN KEM BINA INSAN GURU SIRI 6/2010
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS DARULAMAN

HARI : ISNIN
TARIKH : 12 Julai 2010 (Hari Pertama)
TEMPAT : TAPAK PERKHEMAHAN SRI BANAI
MASA : 8.00 PAGI – 12.00 TENGAH MALAM

8.00 pagi -2.30 petang.

Hari ini merupakan hari pertama saya dan rakan-rakan berada di Kem Sri Banai. Pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing. Namun, keseronokan dan semangat yang berkobar-kobar untuk bersama mengharungi segala rintangan yang mendatang telah memadamkan segala persoalan yang terbuku di minda. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Selepas selesai mengangkat barang-barang keperluan ke kem, dan mendaftarkan diri, program ini dimulakan dengan perhimpunan yang diadakan di dewan terbuka Kem Sri Banai bersama Kem Komanden, Ketua Jurulatih, mentor, serta beberapa orang jurulatih yang akan melatih kami sepanjang program B.I.G ini. Kami diberi taklimat ringkas serta kata-kata semangat oleh Kem Komandan iaitu Encik Nashri bin Yaakob. Selepas itu, kami dibahagikan mengikut kumpulan aktiviti dan diberi tugasan untuk menjalankan aktiviti membersihkan kawasan sekitar kem, seperti menyapu sampah dan memungut ranting-ranting pokok yang berselerakan di situ. Ada juga sebahagian peserta mengangkat barang-barang serta alatan daripada bilik setor GERKO. Semasa menjalankan aktiviti ini,  kerjasama yang diberikan oleh semua peserta sangat menggalakkan.
Selesai membersihkan kawasan, kami semua telah diajar cara-cara mendirikan khemah oleh Encik Yahya bin Bidi. Di situ, kami dapat mengetahui tentang peralatan dan ikatan yang diperlukan untuk mendirikan sesebuah khemah. Kami memberikan sepenuh tumpuan supaya kami dapat mendirikan khemah dengan betul. Walaupun saya sudah mempunyai pengalaman mendirikan khemah jenis ‘Dome Tent’, namun saya sangat teruja mendengar penerangan yang diberikan kerana, ini merupakan kali pertama saya belajar mendirikan khemah jenis ‘A-Frame’. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat turut serta bersama kawan-kawan untuk mendirikan khemah, kerana saya terpaksa bergegas ke dapur untuk membuat persiapan makan tengahari. Walaupun agak letih kerana banyak tenaga telah digunakan semasa aktiviti sebelum ini, tetapi saya dan rakan-rakan tetap berasa gembira dan bersemangat. Saya berasa amat seronok kerana apa juga tugas yang diberikan, saya dan kawan-kawan tetap bekerjasama bagi menyiapkannya. Ibarat kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Selepas kawan-kawan siap mendirikan khemah, saya dan tiga rakan yang lain telah siap menyediakan makan tengahari. Semasa makan, kami diminta menunggu kawan-kawan yang lain untuk makan bersama-sama.Semasa makan, saya lihat semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para peserta kem di mana, peserta Melayu, Cina dan India dapat duduk bersama-sama menjamu selera. Hal ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mementingkan perpaduan.Setelah selesai menjamu selera, kami diberi masa untuk pengurusan kendiri seperti solat, mandi dan sebagainya.

2.30 petang -7.30 petang

Jam 2.30 petang kami diminta berkumpul untuk upacara menaikkan bendera sebagai tanda program ini telah bermula dengan rasminya. Aktiviti ini dikendalikan oleh Kem Komanden, iaitu Encik Nashri bin Yaakob. Manakala ketua kawad pada masa itu ialah peserta KPLI Pendidikan Seni Visual iaitu Cik Noor Ramadhah bt Yusoff. Saya dapat merasakan semangat patriotisme dalam diri saya semakin bertambah dan saya pasti rakan-rakan saya juga begitu. Dalam aktiviti ini, saya dapat mengetahui bagaimana protokol untuk istiadat menaikkan bendera dijalankan. Saya sangat teruja mendapat pengalaman seperti ini. Selepas itu, kami diberikan taklimat mengenai peraturan-peraturan semasa program ini dijalankan oleh salah seorang jurulatih. Ini untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar. Setelah upacara  menaikkan bendera selesai, kami semua bergerak ke dewan terbuka Kem Sri Banai untuk mengikuti aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK 1).
 Aktiviti LDK 1 ini dikendalikan oleh Cik Herna dan tiga orang rakannya yang lain. Mereka merupakan mahasiswa Universiti Utara Malaysia yang sedang menjalankan praktikum di Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPDA. Ketua LDK dan program Jati Diri ini diketuai oleh Ustazah Nazrah Yusof. Antara aktiviti yang dilakukan semasa LDK 1 ini ialah ice breaking, di mana para pelajar dikelaskan mengikut bulan kelahiran, makanan kesukaan, dan bilangan ke berapa dalam anggota keluarga. Dalam aktiviti ini, saya dapat mengenali siapa di antara kami yang mempunyai persamaan dari bulan kelahiran dan lain-lain lagi. Saya juga dapat mengetahui pelajar yang menyukai makanan yang sama seperti saya. Aktiviti ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kami. Saya bersama empat orang kawan yang lain seperti biasa tidak dapat mengikuti aktiviti ini sehingga tamat, kerana perlu menyiapkan makan malam kepada kawan-kawan. Setelah aktiviti ini tamat, kami bersama-sama menunaikan solat asar, diikuti dengan makan malam. Selepas itu, upacara menurunkan bendera dilaksanakan. Kami diberi masa untuk menguruskan diri sebelum bersama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah. Manakala, bagi yang bukan muslim, mereka perlu mengikuti slot motivasi bersama Cik Herna.

7.30 petang – 11.30 malam.

 Selesai solat maghrib berjemaah, kami diberi santapan rohani oleh Ustaz Hafedz bin Salleh. Beliau memberi tazkirah berkaitan dengan masyarakat Islam pada hari ini. Pelbagai pengajaran dapat kami ambil dari sesi tazkirah ini. Setelah selesai solat Isyak, kami bersama rakan yang lain mengikuti aktiviti LDK 2 yang masih juga dikendalikan oleh Cik Herna. Jam 11.30 malam, kami semua bergerak ke khemah masing-masing bagi merehatkan diri dari penat seharian. Yang tinggal hanyalah beberapa orang rakan yang bertugas menjaga khemah.


HARI : SELASA
TARIKH : 13 Julai 2010 (Hari Kedua)
TEMPAT : TAPAK PERKHEMAHAN SRI BANAI
TAMAN TASIK DARUL AMAN
MASA : 3.00 PAGI – 12.00 TENGAH MALAM

3.00 pagi – 5.30 pagi

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Kami semua dikejutkan oleh seorang jurulatih iaitu Encik Mohd. Azman bin Basirun. Kami diberi tugasan untuk mencari lagu patriotik bagi kumpulan kami. Kami juga perlu membuat pergerakan bagi lagu yang kami pilih. Lagu ‘Inilah Barisan Kita’ menjadi pilihan kami. Setelah pergerakan diperoleh, dan dipersembahkan di hadapan jurulatih, kami semua diberi kebenaran untuk kembali ke khemah masing-masing. Pada waktu itu, giliran saya dan empat orang kawan yang lain untuk menjaga khemah.  

5.30 pagi- 7.30 pagi

Bermula jam 5.30 pagi, saya bersama anggota kumpulan bertugas untuk menyediakan makan tengahari kami memandangkan kami akan mengikuti aktiviti air pada jam 10.30 pagi nanti. Apa yang saya nampak, kami dari pelbagai kaum dapat bekerjasama menyediakan makanan tengahari walaupun pada waktu awal pagi. Selepas itu, saya bersama rakan-rakan muslim yang lain menunaikan solat  subuh berjemaah dan diikuti dengan tazkirah yang diberikan oleh peserta kem iaitu Ustaz  Zuzalee bin Ariffin.

7.30 pagi – 3.30 petang

Setelah itu, kami semua berkumpul untuk menikmati sarapan pagi. Seterusnya kami bersama-sama berkumpul di hadapan tiang bendera  bagi upacara menaikkan bendera dan kawad kaki. Setelah selesai, Tuan Haji Badarudin Bin Yeop pula memberi taklimat mengenai aktiviti air yang bakal kami ikuti nanti. Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami berangkat ke Taman Tasik Darul Aman menaiki bas IPDA. Setelah tiba di sana, kami sekali lagi diberi taklimat mengenai aktiviti air ini dan cara pemakaian jaket keselamatan. Sebelum bergerak ke dalam air, kami bersama-sama melakukan senaman pagi yang dikendalikan oleh pelajar dari kelas Pendidikan Seni Visual. Mereka mengendalikan aktiviti ini dengan baik sekali. Aktiviti ini sangat bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perkembangan dari aspek jasmani. Selepas itu, kami bergerak mengikut kumpulan masing-masing bagi menjalani aktiviti di dalam air. Di antara aktiviti yang perlu kami ikuti ialah ‘Water Confidence’, berkayak dan merentas air menggunakan tali. Aktiviti ini dikendalikan oleh jurulatih air iaitu Encik Abdul Shukor Bin Zainal Abidin dan Encik Azemi Bin Abdullah serta dipantau oleh mentor bagi kedua-dua kumpulan. Banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat kami kutip dari aktiviti ini. Antaranya, semangat bekerjasama di antara ahli kumpulan, dan sikap tolong menolong. Mana-mana rakan yang dahulunya fobia kepada air, sudah mula dapat membiasakan diri  dengan air. Inilah pengalaman yang paling manis buat kami. Setelah selesai makan di pulau tasik itu, kami bertolak balik ke  kem.

3.30 petang – 7.30 petang

       Setelah selesai membersihkan diri dan menunaikan solat zohor, , kami diajar pula cara ikatan dan simpulan oleh Encik Mohd Azman bin Basirun. Namun saya tidak dapat menghabiskan sesi tersebut kerana bergegas untuk menyiapkan minum petang. Dalam kesibukan menyediakan makanan, saya dan rakan yang lain juga diajar cara ikatan dan simpulan oleh Encik Nashri. Kami meneruskan lagi aktiviti pada petang itu dengan slot Jati Diri 1. Aktiviti ini sekali lagi dikendalikan oleh Cik Herna dan rakan-rakannya. Dalam aktiviti ini, kami semua mendengar cerita tentang kisah ‘Cikgu Sunan’. Kisah ini berkisarkan tentang bagaimana kasih sayang seorang murid yang bernama Alias terhadap gurunya serta binatang peliharaannya, dan juga tentang keperihatinan seorang guru terhadap anak muridnya. Kisah ini amat menyentuh perasaan dan dapat dijadikan iktibar oleh kami bakal guru. Sebelum aktiviti ini tamat, saya bersama anggota kumpulan masak yang lain bergegas ke dapur untuk menyediakan makan malam.Seterusnya, saya bersama rakan yang lain menunaikan solat asar berjemaah di surau berhampiran. Kami berkumpul semula untuk upacara menurunkan bendera diikuti dengan makan malam bersama-sama.

7.30 petang – 11.30 malam

       Setelah masuk waktu maghrib, kami bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan sesi tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Mohd Hafedz bin Salleh. Beliau memberi tazkirah mengenai persediaan guru-guru muslim dalam menghadapi masyarakat di luar. Tazkirah yang mengandungi kata-kata nasihat  itu amat berharga bagi kami bakal guru.  
       Setelah selesai solat Isyak, kami berkumpul semula bersama rakan-rakan yang bukan muslim bagi mengikuti aktiviti Jati Diri 2 yang juga dikendalikan oleh para mahasiswa UUM. Dalam aktiviti ini, kami diberikan beberapa rangsangan yang berkaitan dengan sikap seorang guru. Kami perlu mengeluarkan ciri-ciri guru yang kami suka dan tidak suka. Kami juga perlu membentangkan hasil perbincangan kami di hadapan kawan-kawan. Dalam aktiviti ini, kami didedahkan dengan sikap-sikap guru yang sepatutnya, dan juga sikap yang tidak sepatutnya. Ini merupakan salah satu daripada aktiviti untuk membina jati diri seorang guru agar menjadi guru yang berkualiti. Pada akhir aktiviti, kami diberikan tajuk bagi malam kebudayaan. Setiap kumpulan diwajibkan mempersembahkan puisi, sketsa dan nyanyian yang bertemakan ‘Satu Malaysia’. Para peserta mengambil masa yang ada untuk berbincang mengenai apa yang akan dipersembahkan pada malam kebudayaan itu nanti.
       Sebelum kembali ke khemah untuk tidur, kami menjamah makanan yang telah disediakan. Kami perlu menghabiskan setiap lauk pauk, nasi, dan bubur yang disediakan. Di sini, saya nampak kerjasama di antara kami yang berusaha untuk menghabiskan semua makanan yang masih berbaki. Alhamdulillah, semuanya habis dimakan. Semua pelajar bergerak ke khemah masing-masing meninggalkan peserta yang bertugas untuk berjaga malam. Semua peserta perlu tidur awal untuk mendapatkan rehat yang cukup bagi mengikuti aktiviti darat pada keesokan hari.



HARI : RABU
TARIKH : 14 Julai 2010 (Hari Ketiga)
TEMPAT : - TAPAK PERKHEMAHAN SRI BANAI
                                              - GUA KERBAU, KODIANG.  
MASA : 5.30 PAGI – 3.00 PAGI

5.30 pagi – 7.30 pagi

       Hari ini merupakan hari ketiga kami berada di Tapak Perkhemahan Kem Sri Banai. Hari-hari yang dilalui memberikan kami banyak pengetahuan dan pengalaman yang baru.  Setelah berkumandang azan subuh, saya bersama rakan yang lain bergerak ke surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah diikuti dengan sesi tazkirah yang diberikan oleh peserta program, dari kelas Pendidikan Islam, iaitu Ustaz Mohd Arif bin Deraof. Beliau memberi tazkirah yang berkisarkan tentang persoalan mengenai Islam oleh orang bukan Islam. Tazkirah itu dikendalikan secara dua hala di mana kami sebagai pendengar juga boleh memberikan pandangan mengenai soalan yang diberikan. Alhamdulillah, banyak ilmu yang kami dapat dari sesi tazkirah ini.

7.30 pagi – 3.30 petang

       Selesai solat dan sesi tazkirah, kami bersama kawan-kawan yang lain berkumpul untuk upacara menaikkan bendera, kawad kaki dan sarapan pagi. Setelah itu, kami semua berkumpul untuk mendengar taklimat mengenai aktiviti darat yang bakal kami lalui nanti. Kami seterusnya dibawa ke Gua Kerbau, Kodiang iaitu tempat di antara negeri Perlis dan negeri Kedah. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam memberikan kami peluang untuk melelapkan mata di atas bas. Akhirnya, kami tiba di hadapan tanah sawah yang menghijau. Kami diarahkan untuk melalui sawah tersebut dengan berjalan kaki. Walaupun terasa penat, namun keseronokan terasa apabila kami melihat kehijauan di sekeliling.
       Aktiviti kami diteruskan lagi dengan cabaran merentas sungai. Alhamdulillah, segala ilmu dan pengalaman yang kami perolehi sewaktu di Taman Tasik Darul Aman dapat kami gunakan di sini. Seorang demi seorang dilepaskan untuk merentas sungai tersebut. Setelah itu, kami diarahkan untuk berjalan merentasi air parit yang berdekatan sebelum menemui Gua Kerbau.
       Apabila tiba di hadapan Gua Kerbau, saya dan rakan-rakan amat teruja dengan keindahan bentuk semula jadi gua tersebut. Kemudian, kami diarahkan untuk berada dalam kumpulan masing-masing bagi mengikuti aktiviti meredah gua dan hutan. Di sini, kami ditemani oleh mentor bagi kedua-dua kumpulan sebagai pembakar semangat untuk melaksanakan aktiviti yang mencabar ini. Dimulai dengan kumpulan satu, diikuti oleh kumpulan dua, seterusnya kumpulan saya, iaitu kumpulan tiga. Penerokaan di dalam gua dimulai dengan merangkak kerana bahagian yang kami lalui terlalu rendah dan gelap. Di situ saya dapat lihat semangat berpasukan di antara kami di mana bekerjasama untuk memudahkan rakan yang lain untuk menghadapi cabaran gua yang rendah dan gelap itu.
       Perjalanan masih diteruskan dengan mendaki kawasan luar gua yang dipenuhi dengan flora. Tiba di atas, kami amat teruja melihat keindahan ciptaan Allah yang menghijau. Keindahan ini memberikan kami ketenangan lantas menghilangkan penat yang mencengkam jiwa. Kami diberi penerangan mengenai jenis-jenis gua yang ada di situ seperti Gua Aircond, dan Gua Pelamin.  Dalam perjalanan ini, kami juga perlu merentasi satu parit yang berisi lumpur yang dalam untuk sampai ke bawah gua. Setelah selesai aktiviti darat ini, kami bertolak pulang dengan berjalan kaki lebih kurang dua kilometer untuk sampai ke pintu hadapan gua, tempat kami memulakan perjalanan tadi. Dalam perjalanan balik, ada seorang peserta wanita pengsan kerana terlalu letih. Saya melihat ahli kumpulan beliau bersama-sama membantunya untuk meneruskan perjalanan. Inilah semangat yang perlu diterapkan dalam setiap diri bakal guru.
       Tiba di hadapan gua, Encik Mohd Zahir bin Mohd Darus selaku Ketua Induk makanan telahpun menyediakan kepada kami makanan tengahari. Tanpa berlengah, kami bersama-sama menjamu selera. Selesai makan, kami bertolak pulang ke kem dengan menaiki bas yang disediakan. Peluang kedua diambil untuk melelapkan mata dan merehatkan badan yang keletihan.    

3.30 petang – 7.30 petang

       Tiba di tapak perkhemahan, kami terus membersihkan diri, solat dan sebagainya. Setelah itu, kami diberi masa untuk masuk ke dalam kumpulan masing-masing untuk berbincang mengenai persembahan yang akan dipersembahkan pada malam kebudayaan nanti. Kumpulan saya memilih lagu dan puisi dari tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India untuk dipersembahkan pada malam itu. Kami juga membuat lakonan mengenai tiga keluarga yang berbilang kaum.
Seperti biasa, saya sebagai ketua bahagian makanan perlu membantu ahli kumpulan yang bertugas untuk masak makan malam. Kami bersama-sama menyediakan menu bihun goreng dan udang goreng tepung untuk makan malam. Setelah selesai menyediakan juadah makan malam, kami bergerak untuk menunaikan solat asar. Sepas itu, kami sambung semula perbincangan mengenai persembahan di malam kebudayaan. Tepat jam 6.30 petang, upacara menurunkan bendera dimulakan. Kami semua bergerak untuk pengurusan kendiri seperti mandi dan sebagainya.

7.30 malam – 3.00 pagi

       Setelah selesai azan maghrib, kami bersama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah di surau. Selepas itu, kami kembali ke dewan untuk membuat persiapan terakhir bagi aktiviti malam kebudayaan dan penutupan program. Saya dan beberapa orang rakan yang lain meneruskan kerja kami di dapur iaitu menghabiskan kerja-kerja yang masih berbaki.
       Jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Selepas selesai menyediakan makan malam, kami diminta untuk berkumpul di dewan bagi sesi malam kebudayaan. Hampir semua jurulatih dan mentor turut hadir pada malam tersebut. Malam kebudayaan membuka tirainya dengan ucapan daripada Pengerusi Program iaitu Khartigayan A/L Pasupathy, kemudian daripada Kem Komandan iaitu Encik Nashri Bin Yaakob. Akhir sekali ucapan daripada Pengarah IPDA yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar  IPDA iaitu Encik Ahmad Shukri Mustaffa yang mana seterusnya merasmikan majlis ini. Selesai upacara perasmian tersebut, kami bersama-sama menjamu selera.
      Selesai menjamu selera, bermulalah sesi persembahan bagi setiap kumpulan.Terdapat pelbagai ragam yang ditunjukkan bagi menambat hati para juri. Setelah tamat persembahan bagi kumpulan pertama, kami dikejutkan oleh kedatangan Pengarah IPDA. Walau bagaimanapun, kedatangan beliau ke majlis ini amat kami hargai. Setelah selesai setiap persembahan, dan diadili oleh juri-juri professional yang terdiri daripada jurulatih program, maka, diumumkan bahawa pemenang tempat pertama bagi persembahan di malam kebudayaan ini jatuh kepada kumpulan saya iaitu kumpulan tiga. Kumpulan yang mendapat tempat kedua dimenangi oleh kumpulan satu, dan akhir sekali, yang mendapat tempat ketiga adalah kumpulan dua. Peserta terbaik dalam kalangan kami dimenangi oleh Noor Ramadhah bt. Yusoff.
      Selesai sesi malam kebudayaan ini, kami bergegas untuk menunaikan solat isyak, dan seterusnya berkumpul semula bagi sesi bersama jurulatih. Dalam sesi ini, jurulatih telah merangka pelbagai aktiviti seperti pertandingan berbalas teka-teki, mengenali suara jurulatih dengan mata tertutup, dan permainan menguji minda menggunakan sifir dan angka tujuh. Semua aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara jurulatih dan para peserta.
      Jam 3.00 pagi, kami semua dikehendaki menghabiskan makanan yang masih berbaki. Dengan semangat bekerjasama, kami semua dapat menghabiskan semua makanan tersebut. Setelah itu, kami semua kembali ke khemah masing-masing untuk merehatkan diri. Seperti biasa, para petugas yang menjaga khemah mengambil tempat masing-masing untuk berjaga.

      

HARI : KHAMIS
TARIKH : 15 Julai 2010 (Hari Keempat)
TEMPAT : TAPAK PERKHEMAHAN SRI BANAI
MASA : 5.30 PAGI – 11.00 PAGI

       Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini. Saya dan AJK makanan bergegas menyediakan nasi lemak bagi santapan kami pada pagi ini. Sesudah azan subuh berkumandang, kami bersama rakan yang lain menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selesai solat subuh, kami bersama-sama berkumpul untuk upacara menaikkan bendera dan kawad kaki. Selepas itu kami bersama menjamu selera buat kali yang terakhir.
       Setelah itu, kami semua diarahkan untuk meruntuhkan khemah dan membersihkan kawasan kem seperti di surau, tandas, dapur dan tapak perkhemahan. Kerjasama di antara kami dapat dibuktikan apabila tapak perkhemahan itu kemas dan tersusun seperti waktu kami mula hadir di situ. Setelah selesai, kami berkumpul semula untuk akiviti post mortem dan upacara penutupan kem. Selesai upacara tersebut, kami semua bersama-sama mengangkat barang-barang yang dipinjam dari setor GERKO. Lebih kurang jam 11.30 pagi, kami semua bersurai membawa seberapa banyak ilmu dan pengalaman yang kami perolehi di  kem tersebut. Sesungguhnya, pengalaman ini amat berharga buat kami dalam mendidik diri menjadi insan guru yang berwawasan dan semestinya tidak akan kami lupakan. Terima kasih buat para jurulatih yang telah melatih kami, juga terima kasih diucapkan kepada mentor yang sentiasa bersama menemani kami di sini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini.


PENUTUP

       Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya saya dapat mengikuti segala aktiviti dalam progam ini secara berterusan. Jutaan terima kasih kepada kem komandan, para jurulatih, mentor, fasilitator dan semua rakan-rakan kerana telah banyak membantu dalam melaksanakan aktiviti ini dengan jayanya. Tanpa jasa dan usaha dari kalian semua, program ini tidak akan dapat mencapai objektifnya. Jutaan terima kasih juga ditujukan khas buat kedua ibu bapa saya serta ahli keluarga kerana telah menyokong saya dan tidak jemu-jemu memberi semangat dalam melalui kehidupan di bumi IPDA ini. Sekalung doa dan penghargaan dari saya buat kalian semua.
       Akhir kalam, saya berharap agar segala ilmu yang saya perolehi di kem Bina Insan Guru ini akan dapat saya gunakan dalam membina jati diri seorang pendidik anak bangsa.


REFLEKSI KENDIRI

Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan saya peluang untuk menjadi salah seorang daripada warga IPDA di mana saya dapat bersama-sama untuk menyertai Program Bina Insan Guru yang telah selesai dilaksanakan dengan jayanya. Jutaan terima kasih ditujukan khas buat ibu bapa, mentor dan rakan-rakan kerana banyak membantu dalam menyiapkan tugasan ini.  Alhamdulillah, hasil bantuan daripada kalian semua, akhirnya tugasan ini dapat disiapkan dalam masa yang diberikan.
Program Bina Insan Guru ini telah memberikan saya banyak ilmu dan pengalaman yang berharga dalam mendidik diri menjadi seorang insan guru yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya tahan yang boleh mendidik murid dengan cekap dan berkesan.

GOTONG ROYONG

Pelbagai pengajaran dan pengalaman dapat kami kutip melalui program ini. Bermula daripada aktiviti gotong-royong kawasan, telah mendidik kami supaya bekerjasama dan menanamkan sikap pentingkan kebersihan. Semangat kerjasama juga dapat dilihat ketika kami bersama-sama mendirikan khemah.

LATIHAN DALAM KUMPULAN 1

Latihan Dalam Kumpulan (LDK)  yang pertama, dimana kami dapat mengenali antara satu sama lain. Ini dapat memupuk semangat bekerjasama dalam pasukan kerana setiap individu mengenali individu yang lain. Aktiviti ini juga memupuk perasaan kasih sayang kepada rakan sepasukan. Ibarat kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan di antara kami walaupun daripada kelas yang berbeza. 

LATIHAN DALAM KUMPULAN 2

Seterusnya LDK 2, di mana kami perlu meggunakan tali dan marker untuk menulis nama kumpulan. Aktiviti ini mengajar kita berfikir cara penyelesaian masalah, bekerjasama dalam kumpulan, dan bertindak mengikut arahan.

AKTIVITI AIR :
‘WATER CONFIDENT’

       Dalam aktiviti ini, kami diminta untuk masuk ke dalam air bagi menguji tahap keberanian kami. Cabaran untuk berada di dalam air seperti meniarap, berbaring dan memasukkan kepala di dalam air merupakan aktiviti yang benar-benar menguji keberanian kami. Terdapat beberapa pelajar di antara kami yang begitu fobia terhadap air. Walaupun begitu, melalui aktiviti ini, saya dan rakan-rakan yang lain tidak henti-henti memberi semangat dan sokongan kepada rakan yang fobia tersebut. Dengan kata-kata semangat daripada kami, rakan yang pada mulanya takut kepada kedalaman air, sudah mula dapat membiasakan diri dengan keadaan sekeliling. Semangat setiakawan dan bantu membantu dalam aktiviti amat saya kagumi.

BERKAYAK

       Aktiviti ini merupakan di antara aktiviti yang menarik kerana setiap peserta dapat merasai peluang berkayak. Pembahagian kumpulan satu dan dua yang membezakan di antara ketinggian, kebolehan berenang dan berat badan telah banyak membantu dalam melaksanakan aktiviti ini. Semasa berkayak, saya tidak mempunyai masalah komunikasi dengan pasangan. Komunikasi yang baik di antara kami jelas dapat mengawal pergerakan kayak dengan sebaik yang mungkin. Arahan ‘kiri, kanan, kiri, kanan’ daripada pasangan berkayak memudahkan lagi pergerakan kami. Aktiviti ini mengajar kami supaya mendengar arahan dengan betul supaya tidak terpesong ke arah lain. Sikap bantu-membantu dalam kalangan peserta juga dapat diterapkan. Selain itu, kami juga diajar cara untuk menterbalikkan kayak sekiranya kami terjatuh daripada kayak. Inilah pengalaman yang bernilai bagi setiap peserta kerana dapat mengetahui selok belok berkayak.

MERENTASI TASIK MENGGUNAKAN TALI

       Dalam aktiviti ini, kami dilepaskan seorang demi seorang untuk merentasi tasik bermula di pulau yang berhampiran hinggalah ke tebing. Tahap keyakinan dan keberanian yang tinggi dalam diri amat diperlukan agar aktiviti ini dapat dijalankan dengan mudah. Saya amat teruja untuk melakukan aktiviti ini kerana di situ saya dapat mengetahui tahap keberanian saya apabila berada berseorangan di tengah-tengah tasik. Walaupun terdapat gangguan daripada pihak jurulatih dengan menggunakan bot, namun, kami para peserta tetap cekal dan mampu untuk menghabiskan aktiviti ini. Saya dan rakan yang lain tidak jemu-jemu memberi semangat kepada setiap peserta. Ini membuatkan perasaan gentar dan takut hilang begitu saja. Apa yang saya dapat lihat, semangat daripada pihak rakan inilah yang amat diperlukan ketika kita keseorangan di dalam kesulitan.

BERENANG

        Sewaktu aktiviti ini dijalankan, sebahagian peserta iaitu dari kumpulan tiga perlu membawa balik kayak ke tepian. Ketika kawan-kawan berenang dari pulau untuk ke tepian tasik, kami yang berkayak tidak putus-putus memberikan semangat kepada rakan-rakan untuk meneruskan aktiviti renang. Setelah ramai yang sudah tiba di tepian, terdapat tiga orang peserta yang masih lagi berenang. Sorakan semangat memenuhi ruang tasik tersebut. Bantuan daripada dua peserta lelaki dan dua peserta wanita memudahkan lagi perjalanan bagi ketiga-tiga peserta tersebut.

JATI DIRI 1

       Aktiviti ini mengandungi cerita tentang keperibadian seorang guru yang bernama Cikgu Sunan dalam menangani masalah anak muridnya, Alias. Kisah ini banyak memberi pengajaran kepada kami supaya mengambil berat tentang kebajikan para pelajar tidak kira samada miskin atau kaya. Sikap Cikgu Sunan yang buruk sangka  terhadap anak muridnya mengundang padah. Ini memberikan kami pengajaran supaya tidak berburuk sangka kepada setiap pelajar. Walaupun begitu, sikap Cikgu Sunan yang pergi menziarahi anak muridnya yang berhenti sekolah perlulah dijadikan ikutan. Saya tertarik kepada pengorbanan yang ditunjukkan oleh Alias dengan mencederakan beruk kesayangannya sehingga mati semata-mata ingin menyelamatkan Cikgu Sunan. Peristiwa ini menjadi bukti betapa pentingnya ikatan kasih sayang dan pengorbanan di antara guru dan murid.

JATI DIRI 2

       Dalam aktiviti ini, kami diberi beberapa rangsangan untuk mengeluarkan ciri-ciri guru yang paling kami sayang dan ciri-ciri guru yang kami tidak sukai. Setiap kumpulan mempunyai cadangan masing-masing lalu dibentangkan di hadapan peserta. Apa yang saya lihat, kesemua ciri-ciri yang baik itu perlulah dicontohi oleh kami bakal guru, manakala ciri-ciri yang kurang baik perlulah dijauhi.

AKTIVITI DARAT:
MERENTASI SUNGAI

       Aktiviti ini dimulai dengan perjalanan merentasi kehijauan sawah. Kami dapat melihat keindahan sawah yang terbentang luas di samping dapat menghirup udara segar. Seterusnya kami perlu merentasi sungai dengan menggunakan tali. Aktiviti ini merupakan kesinambungan kepada aktiviti merentas tasik yang telah kami lakukan sehari sebelum. Pengalaman di tasik tersebut kami jadikan panduan untuk memudahkan pergerakan. Seperti biasa, seorang demi seorang dilepaskan untuk merentasi sungai tersebut. Sorakan kata-kata semangat daripada kawan-kawan mengiringi setiap peserta. Semangat berpasukan melatih kami supaya saling bantu- membantu dalam apa jua situasi.

MENJELAJAH GUA KERBAU

       Aktiviti kemuncak ini bermula dengan merangkak ke dalam gua kerbau. Ketua kumpulan telah dilantik bagi memudahkan segala urusan. Keadaan gua yang agak sempit, rendah dan gelap menyebabkan kami sukar untuk meneruskan perjalanan. Namun, semangat yang membara dari setiap ahli kumpulan memudahkan perjalanan kami. Dalam aktiviti ini, sikap tolak ansur dan bantu-membantu di antara ahli kumpulan amat penting. Apa yang saya dapat di sini ialah semangat bekerjasama dan sedia mendengar arahan dari ketua membuatkan pergerakan kami berjalan dengan lancar. Aktiviti meredah hutan juga memberikan kami banyak pengalaman yang baru. Perkongsian air dan biskut di antara ahli kumpulan dapat merapatkan lagi hubungan kami. Sama-sama merasa penat, sama-sama merasa nikmat. Di sini, saya amat teruja melihat perpaduan antara tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
       Sewaktu perjalanan balik ke pintu utama gua, kami terpaksa menyusuri satu parit yang mempunyai lumpur yang amat dalam. Ketika itu, saya merupakan salah seorang yang kehilangan kasut kerana tenggelam di dalam lumpur. Namun, apa yang membuatkan saya terharu adalah bantuan daripada kawan-kawan dengan memberikan tapak kasut, malahan ada yang sanggup meminjamkan kasutnya kepada saya di pertengahan jalan. Budi dan jasa kalian amat saya hargai. Pada masa yang sama juga, saya lihat beberapa peserta sedang membantu peserta wanita yang jatuh pengsan. Apa yang saya dapat di sini adalah, semangat bantu-membantu dan bekerjasama di antara peserta tanpa mengira kaum amatlah penting dalam memastikan segalanya berjalan lancar.

MALAM KEBUDAYAAN

       Aktiviti ini telah berjaya menyatukan kami sebagai satu Malaysia di mana kami bersama-sama mempersembahkan puisi, sketsa dan nyanyian dalam versi tiga kaum. Terasa masa yang diberikan terlalu singkat untuk berlatih. Walaupun sukar untuk melaksanakannya, namun semangat perpaduan yang tinggi telah dapat membuang segala kepayahan tersebut. Dalam aktiviti ini juga, saya dapat pelajari beberapa perkataan daripada Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Perasaan sedih menguasai diri memandangkan inilah malam terakhir kami bersama.  Saya akui bahawa program ini bukan sahaja telah menyatukan kami dari kedua-dua kelas Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual malahan, telah menyatukan kami yang datang dari pelbagai kaum.

AKTIVITI MEROBOHKAN KHEMAH

       Aktiviti ini mengajar kami supaya bekerjasama dalam melaksanakan tugasan seperti merobohkan khemah, mencuci tandas, dapur dan kawasan sekitar khemah. Sikap menjaga kebersihan telah diterapkan melalui aktiviti sebegini. Semangat tolong-menolong dalam menyelesaikan tugasan yang terakhir memberikan kenangan manis yang tidak akan saya lupakan.


KEKUATAN PROGRAM

       Alhamdulillah, setelah berlangsung selama 4 hari 3 malam, akhirnya program ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Di sini, saya dapat menyelitkan beberapa kekuatan yang memberikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya.
1)    Sikap bekerjasama dan toleransi antara satu sama lain memudahkan setiap tugasan dijalankan.
2)    Para pensyarah yang berpengalaman menjadikan program ini dapat dilaksanakan mengikut ketetapan objektifnya.
3)    Pengurusan masa yang baik memberikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar.
4)    Penerapan nilai-nilai murni seperti berdisiplin, dan hormat-menghormati dapat diserapkan.

KELEMAHAN PROGRAM

       Walaupun banyak kekuatan yang saya dapat lihat dalam program ini, namun terselit beberapa kelemahan yang mana harus kita sama-sama atasi.
1)    Arahan yang tidak beberapa jelas dari pihak jurulatih seperti arahan bagi kedudukan khemah peserta.
2)    Keadaan khemah yang terbuka (tidak mempunyai penutup hadapan) memberikan kesukaran pada peserta wanita terutama yang beragama Islam untuk berehat.
3)    Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan yang dikendalikan oleh mahasiswa UUM ternyata terlalu ringan dan kurang sesuai bagi masa-masa tertentu membuatkan para peserta berasa bosan dan mengantuk.

PENAMBAHBAIKAN

1)    Para jurulatih sebaiknya memberikan arahan yang jelas kepada pada peserta supaya setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.
2)    Pemilihan khemah serta kedudukan khemah yang sesuai bagi peserta wanita.
3)    Pemilihan fasilitator yang berpengalaman dalam menjalankan aktiviti LDK.

RUMUSAN KESELURUHAN

       Secara keseluruhannya, Program Bina Insan Guru ini telah memberikan banyak faedah dari segi ilmu dan pengalaman kepada saya. Aktiviti seperti Latihan Dalam Kumpulan, Jati Diri, aktiviti air dan darat, memberikan kami banyak pengalaman dan pengajaran yang baru sebagai persediaan untuk menjadi guru yang bermotivasi tinggi dalam menghadapi era globalisasi. Program ini juga dapat menyatupadukan kami dari berbilang kaum menjadi satu pasukan yang mampu bekerjasama, toleransi serta mengambil berat antara satu sama lain. Ini telah dapat dibuktikan dalam setiap aktiviti yang telah kami lalui di mana semangat bekerjasama serta saling menyokong antara satu sama lain tak pernah hilang dari jiwa setiap peserta. Keputusan supaya setiap peserta diberi tugasan untuk menyediakan makanan harian memberikan peluang kepada kami untuk menunjukkan bakat dalam bidang masakan. Malahan, ada juga beberapa peserta yang tidak pernah masuk ke dapur, sudah dapat membiasakan diri dengan tugasan sebegini. Secara kesimpulannya, program ini ternyata telah dapat mencapai objektifnya.