Monday, May 5, 2014

Aqidah Muslim dan Kesannya kepada Kemantapan Iman

 1) PENDAHULUAN


Aqidah adalah merupakan bekalan hidup yang paling berharga bagi seluruh manusia. Kejayaan dan kebahagiaan mereka di dunia ini dan di akhirat nanti sangat bergantung kepada kesucian dan kemurnian aqidahnya. Apabila aqidah dan keimanannya murni, suci dan benar selari dengan apa yang diajarkan Allah Ta’ala dan disampaikan Rasul-Nya, maka dia akan mendapatkan kemenangan di muka bumi dan kejayaan di akhirat kelak, namun sebaliknya apabila keimanan dan aqidahnya menyeleweng dan menyimpang, maka dukacitalah yang akan menjadi bahagiannya.
Sesungguhnya perjuangan menjaga dan memelihara kesucian di sisi Allah Ta’ala. Oleh itu, para ulama di sepanjang sejarah Islam telah berjuang membela dan menjaga kesucian aqidah dari pelbagai usaha pihak-pihak tertentu yang hendak menggugat dan mengotori kesucian aqidah Islamiah.
Menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, iman seseorang itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Maka demikianlah juga akidah seseorang muslim itu, ia boleh menjadi utuh dan mantap, atau menjadi longgar dan lemah. Faktor kekuatan atau kelemahan akidah seseorang itu boleh dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan yang dimiliki, pendidikan yang diterima atau persekitaran yang dialaminya.
Sepanjang sejarah perkembangan Islam, khususnya selepas era al-Salafussoleh (Sahabat, Tabi’in dan Tabi’i al-Tabi’in radhiallahu ‘anhum), ajaran-ajaran menyeleweng mula menular dalam masyarakat Islam. Ini disebabkan masyarakat Islam yang telah meluas dan besar kapasitinya di zaman itu rentetan daripada peluasan wilayah pemerintahan Islam, telah terencat ilmu dan pendidikan yang diturunkan oleh Nabi s.a.w. kepada generasi yang pertama, iaitu para Sahabat. Tidak semua ilmu wahyu yang baginda sampaikan kepada generasi pertama itu boleh sampai kepada generasi yang seterusnya. Hal ini telah digambarkan oleh baginda sendiri dalam sabdanya:
"خَيْرُ القُرُونِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَأْتِيْ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِيْنَهُ وَيَمِيْنُهُ شَهَادَتَهُ"
 (رواه البخاري ومسلم عن عبدالله بن مسعود)
 Maksudnya:
“Sebaik-baik generasi adalah generasiku ini, kemudian generasi yang mengikuti mereka, seterusnya generasi yang mengikuti generasi itu. Selepas itu akan lahir kaum-kaum yang persaksian  salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya, sumpahnya mendahului persaksiannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.)
Jika kita membuka buku-buku sejarah Islam, kita akan bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang bernama al-Khawarij, al-Mu’tazilah, al-Murji’ah, al-Qadariyyah, al-Isma’iliyyah, al-Fatimiyyah, al-Zanadiqah dan sebagainya lagi. Mereka ini muncul dengan berbagai-bagai pendekatan sama ada politik kemudian terjurus kepada akidah, akidah kemudian politik, akidah semata-mata, tasawuf tariqat, kepura-puraan (munafiq) atau lain-lain lagi. Para ulama yang mendokong panji-panji al-Quran dan Sunnah telah berjuang bermati-matian untuk mematahkan hujjah mereka melalui pendekatan Ahlus Sunnah wal Jama’ah khususnya dalam tulisan-tulisan mereka yang diabadikan dalam kitab-kitab besar yang boleh dibaca hingga ke hari ini. Mereka telah mendisiplinkan perbahasan berkenaan puak-puak menyeleweng ini sebagai disiplin ilmu al-Firaq wal Milal wal Ahwa’ (Ilmu Puak, Ajaran dan Hawa Nafsu).
Zaman kita ini juga tidak terkecuali daripada ancaman puak dan ajaran yang menyeleweng ini. Di antara ajaran ini ada yang meresap dari luar sempadan geografi kita seperti Qadyani, Bahai, Syi’ah, ajaran anti-hadis Rashad Khalifa, Black Metal dan lain-lain. Manakala ada juga ajaran menyeleweng yang muncul di kalangan kita sendiri tanpa pengaruh dari luar seperti ajaran Ayah Pin, Hasan Anak Harimau dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu tidak mempunyai aqidah atau pegangan yang murni kepada Tuhan yang maha esa, maka pincanglah seluruh kehidupannya. Lahirlah individu muslim yang hanya pada nama, masyarakat yang  buta dek kelalaian dalam pentarbiahan celikan aqidah. Negara akan menjadi mundur akibat tiada pegangan yang kukuh. Ibarat sebatang pokok yang rosak akarnya, maka rosaklah buahnya. Di dalam kerja kursus ini akan saya cuba rungkaikan satu persatu mengenai aqidah dalam pembentukan masyarakat pada hari ini.

2) KONSEP AQIDAH

2.1 DEFINISI AQIDAH

 Perkataan akidah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu ‘aqada yang bererti ikatan atau simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang maknawi seperti akad nikah dan akad jual beli. Dari ikatan atau simpulan yang maknawi ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau simpulan khusus dalam kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak mungkin tercerai atau terurai. Akidah menurut istilah syara’ pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara’ iaitu beriman kepada Allah S.W.T, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.  

2.1(1)     Pengertian Aqidah Secara Bahasa (Etimologi) :

 Perkataan aqidah diambil dari kata dasar "al-‘aqdu" iaitu ar-rabth (ikatan), al-Ibraam (pengesahan), al-ihkam (penguatan), at-tawatstsuq (menjadi kukuh, kuat), asy-syaddu biquwwah (pengikatan dengan kuat), at-tamaasuk (pengokohan) dan al-itsbaatu (penetapan). Di antaranya juga mempunyai erti al-yaqiin (keyakinan) dan al-jazmu (penetapan).
 "Al-‘Aqdu" (ikatan) lawan kata dari al-hallu (penguraian, pelepasan). Dan kata tersebut diambil dari kata kerja: " ‘Aqadahu" "Ya'qiduhu" (mengikatnya), " ‘Aqdan" (ikatan sumpah), dan " ‘Uqdatun Nikah" (ikatan menikah). Allah Ta'ala berfirman,
"Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja ..." (Al-Maa-idah : 89).
 Aqidah ertinya ketetapan yang tidak ada keraguan pada orang yang mengambil keputusan. Sedang pengertian aqidah dalam agama maksudnya adalah berkaitan dengan keyakinan bukan perbuatan. Seperti aqidah dengan adanya Allah dan diutusnya pada Rasul. Bentuk jamak dari aqidah adalah aqa-id. Jadi kesimpulannya, apa yang telah menjadi ketetapan hati seorang secara pasti adalah aqidah; baik itu benar ataupun salah.

2.1(2)     Pengertian Aqidah Secara Istilah (Terminologi)

Dalam terminologi al-Quran, aqidah dipanggil ‘Imaan (ايمان) atau kepercayaan, iaitu kepercayaan dengan penuh yakin terhadap hal-hal al-sam’iyyaat (fakta-fakta yang hanya boleh diketahui melalui wahyu, bukan melalui sains). Pokok perbicaraan atau objek kepercayaan dalam al-Quran terkandung dalan rukun iman yang enam, iaitu percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat qadar baik dan buruk. Aqidah pada umumnya adalah merupakan perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa menjadi tenteram terhadapnya sehingga lahirnya satu keyakinan yang kukuh tanpa digoncang atau dicampuri oleh sebarang syak keraguan.
Dalam erti kata lain, keimanan yang pasti tidak terkandung suatu keraguan apapun pada orang yang  menyakininya dan harus sesuai dengan kenyataannya; yang tidak menerima keraguan atau prasangka. Jika hal tersebut tidak sampai pada singkat keyakinan yang kukuh, maka tidak dinamakan aqidah. Ia dinamakan aqidah, kerana orang itu mengikat hatinya diatas hal tersebut. 

2.1(3)     Aqidah Islamiyyah:

 Aqidah Islamiyyah adalah keimanan yang pasti teguh dengan Rububiyyah Allah Ta'ala, Uluhiyyah-Nya, para Rasul-Nya, hari Kiamat, takdir baik mahupun buruk, semua yang terdapat dalam masalah yang ghaib, pokok-pokok agama dan apa yang sudah disepakati oleh Salafush Shalih dengan ketundukkan yang bulat kepada Allah Ta'ala baik dalam perintah-Nya, hukum-Nya maupun ketaatan kepada-Nya serta meneladani Rasulullah SAW.
 Jika disebutkan secara mutlak, maka yang dimaksudkan adalah aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah, karena itulah pemahaman Islam yang telah diredhai oleh Allah sebagai agama bagi hamba-Nya. Aqidah Islamiyyh adalah aqidah tiga generasi pertama yang dimuliakan iaitu generasi sahabat, Tabi'in dan orang yang mengikuti mereka dengan baik.

2.1(4)    Nama lain Aqidah Islamiyyah:

 Menurut Ahlus Sunnah wal Jama'ah, sinonimnya aqidah Islamiyyah mempunyai nama lain, di antaranya, at-Tauhid, as-Sunnah, Usuluddiin, al-Fiqbul Akbar, Asy-Syari'iah dan al-Iman. Nama-nama itulah yang terkenal menurut Ahli Sunnah dalam ilmu ‘aqidah.
 Aqidah dalam islam merupakan perkara asas atau usul di mana tubuh cabang-cabang syariat darinya. Syariat pula ialah amalan-amalan yang berupa ibadat dan muamalat yang dianjurkan Islam hasil dari aqidah tersebut. Dengan sebab inilah ilmu aqidah itu juga dinamakan sebagai ilmu usuluddin atau yang bermaksud ilmu usul agama.
       Oleh itu, di dalam agama Islam aqidah itu merupakan suatu perkara yang telah ditetapkan malah wajib bagi pegangan aqidah itu disertakan dengan kepercayaan dan keyakinan yang kukuh tanpa sebarang syak. Timbulnya sebarang syak merupakan suatu keraguan (dzan) dan bukan aqidah. Dalilnya adalah seperti firman Allah S.W.T. dalam ayat-ayat berikut:
(a) Surah Al-Baqarah ayat 1 dan 2 yang bermaksud:
Alif laam miim. Kitab (Al-Quran) ini yang tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”.
       Perlu ditegaskan di sini juga bahawa masalah-masalah aqidah yang wajib diiktiqadkan merupakan perkara-perkara ghaib yang tiada dapat disaksikan dengan mata sepertimana yang diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam memuji orang-orang yang beriman dalam Surah Al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud:
       “Mereka yang beriman dengan (perkara-perkara) ghaib”.
Sehubungan ini kita dapati bahawa dalam rukun iman menyatakan Allah S.W.T. itu ghaib dan begitu juga para malaikat, hari akhirat, qada’ dan qadar adalah perkara-perkara ghaib. Meskipun para rasul dan kitab-kitab dapat disaksikan atau dilihat tetapi apa yang sebenarnya dikehendaki dalam konteks keimanan terhadap Allah S.W.T. ialah hakikat bahawasanya para rasul itu adalah utusan dari Allah S.W.T. dan begitu juga kitab-kitab adalah diturunkan oleh Allah S.W.T.  ini semuanya adalah perkara ghaib.

3) SYAHADAH

3.1 PENGERTIAN SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA.

 Syahadah (شَهَادَةٌ) dalam bahasa Arab bermakna perkhabaran tentang apa yang telah dilihat dan pengakuan tentang perkara yang telah diketahui. Dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab, perkataan syahadah juga boleh digunakan untuk sijil atau apa-apa sahaja surat yang mengandungi keterangan-keterangan dan akuan. Perkataan 'Syahadah' juga mengandungi maksud: ikrar dan pengakuan serta keyakinan. Syahadah yang akan kita bincangkan di sini adalah penyaksian, pengakuan dan keyakinan pada Dua Kalimah Syahadah yang menjadi syarat untuk seseorang itu memeluk agama Islam. “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah”.

3.1(1)     Syahadah Kepada Allah SWT

 Syahadah ini bermaksud mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah, tauhid al Asma’, as Sifah wa al Af`al serta tidak menghadapkan sembahan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah SWT. Di dalam kalimah La Ilaha Illallah terdapat dua perkara rukun iaitu nafi (penafian) dan ithbat ( penegasan ). Nafi dapat diperhatikan pada kalimah ( La Ilaha ) yang bererti menolak sebarang bentuk pengabdian selain daripada Allah. Penegasannya dapat diperhatikan pada kalimah ( Illallah ) yang bererti menegaskan tentang hakikat ketuhanan Tuhan yang maha Esa lagi tunggal ( Allah ).

3.1(2)     Syahadah Kepada Rasul SAW

 Syahadah ini bermaksud ikrar dan tasdiq dengan segala syariat yang dibawa oleh Nabi atau Rasulullah SAW dan segala pemberitahuan mengenai perkara ghaib semuanya datang dari Allah serta menerima semua akhlak dan sifat kerasulan seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Syahadah ini merupakan teras Islam yang kedua. Syahadah ini menuntut manusia mengetahui, membenar dan meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah serta membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan secara sekaligus.
 Pembuktian dengan perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan lidah. Manakala pembuktian dengan perbuatan ialah menegakkan tingkah laku dan seluruh tindak tanduk yang bersesuaian dengan ajaran Nabi Muhammad SAW serta menurut jejak langkah baginda. Tugas Rasulullah SAW adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah SWT adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia ke jalan yang lurus. Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.
Sebagai kesimpulannya, adalah tidak sepatutnya manusia mengingkari rasul Allah . Firman Allah SWT dalam Surah  al-An’am ayat 91. Maksudnya :
“Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya ketika mana mereka berkata : Allah tidak menurunkan sesuatu pun untuk manusia.”

3.2 PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH.

Perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama: Iktikad.

Kepercayaan yang bertentangan dengan dasar Islam iaitu, contohnya:

1. Iktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada pencipta atau alam ini kekal selama-lamanya.

2. Iktikad bahawa pencipta alam ini baru, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baru ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.

3. Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Iktikad bahawa Rasulullah SAW sebenar ialah yang disebutkan sebagai Muhammad batin, bukan Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ialah hukum-hukum yang lapok dan tidak praktikal untuk digunakan pada zaman moden.

Kedua: Perkataan.

  Iaitu tiap-tiap yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifatNya, malaikat-malaikatNya, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya, ayat-ayatNya dan hukum-hukumNya serta hukum-hukum yang diterang oleh RasulNya. Juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama’ mengistinbatkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Ketiga: Perbuatan.

1. Tiap-tiap perbuatan dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan niat menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah.

2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah. Di antara contoh-contohnya perbuatan seperti yang dinyatakan di atas ialah menyembah berhala, bertenung nasib, murtad dan lain-lain lagi.

3.2(1) Perkara yang membatalkan syahadah

Di antara perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah adalah seperti berikut:

1. Bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah Bergantung kepada sebab-sebab dan melupakan bahawa yang mengizinkan sebab itu berkesan adalah Allah, dikira maksiat. Bergantung kepada sebab dan yakin pula bahawa sebab-sebab itu tidak ada hubungan dengan Allah, maka dikira syirik dan merosakkan syahadah. Di dalam Al-Quran banyak disebutkan tentang masalah ini. Firman Allah. Maksudnya :
“Dan tidak ada pertolongan melainkan dari pihak Allah yang Maha Gagah lagi Maha Bijaksana menyembuhkan.” (Ali-‘Imran: 126)

2. Mengingkari nikmat Allah, sama ada nikmat yang kelihatan atau tidak, mudah difikirkan atau memerlukan penelitian khusus.Firman Allah: Maksudnya:
“Dia memberikan kamu daripada setiap apa yang kamu minta, dan jika kamu menghitung nikmatNya, kamu tidak akan mampu menghitungNya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi kufur.”(Ibrahim: 34)

3. Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain Allah. Hal ini sangat dimurkai oleh Allah.
Firman Allah:Maksudnya :“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.” (Al-An’aam: 162) Berdasarkan ayat tersebut, ditegaskan dengan penuh yakin bahawa tidak ada ibadat atau perhambaan yang ditujukan kecuali kepada Allah.

4. Membuat undang-undang menurut kemahuan manusia, bukan menurut kehendak dan ketentuan yang telah digariskan oleh Allah. Perbuatan seperti ini dikira melawan Allah, kerana Allahlah yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia, sama ada halal atau haram, kehakiman atau segala bentuk perintah dan larangan.
Firman Allah: Maksudnya :
“Bukankah semua ciptaan dan kekuasaan itu kepunyaanNya ? Maha Tinggi Allah Pengurus sekalian alan.” (Al-A’raf: 54)

5. Mentaati selain Allah tanpa keredhaanNya Antara lain bermakna syahadah ialah “Tidak ada yang layak dipatuhi melainkan Allah.” Taat yang dibenarkan dan dikehendaki oleh Allah ialah taat kepada RasulNya. Ini disebabkan mentaati Rasul bermakna mentaati Allah.
Firman Allah:Maksudnya:
 “Sesiapa yang mentaati Rasul, maka ia mentaati Allah.” (An-Nisa’: 80)
Taat kepada pemimpin atau pemerintah hanya dibenarkan selagi mereka tetap mematuhi dan melaksanakan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Jika mereka telah keluar dari keduanya, maka tidak boleh taat kepada mereka.

 4) RUKUN IMAN

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam dikenali sebagai rukun-rukun Iman ialah enam perkara sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya". (al-Baqarah : 285)

Dalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud :  "Iman itu ialah mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota".
(al-Hadis)
 Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan. Iman tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secucuk dengan kehendak dan tuntutan iman itu sendiri. Firman Allah swt yang bermaksud: 

"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu". (al-Hujurat : 15)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya".
(al-Anfal : 2-4)  

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara :
·         Pertama   : Beriman kepada Allah swt.
·         Kedua            : Beriman kepada Malaikat.
·         Ketiga            : Beriman kepada kitab-kitab.
·         Keempat  : Beriman kepada Rasul-Rasul.
·         Kelima     : Beriman kepada Hari Kiamat.
·         Keenam  : Beriman kepada Qada" dan Qadar.

4.1  Hubungan Iman dan Islam

 Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt. Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu

(i) dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah) dan
(ii) melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang bermaksud :

"Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap kalimah "Lailahaillallah" dan yang paling rendah ialah membunag benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan". (Riwayat Muslim)

 Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam umpama pohon, sementara Iman pula umpama akar sesepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya.
Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya.

 5) KEROSAKKAN AQIDAH

 Pada zaman sekarang, kita dapat lihat berlakunya kerosakan aqidah yang melampau sehinggakan perkara tersebut tidak mampu diterima oleh akal fikiran. Kenyataan-kenyataan yang keluar dari mulut-mulut yang seolah-olah tidak mengerti akan maksud aqidah yang sebenar. Pengakuan diri sebagai Tuhan dan Rasul kepada umat akhir zaman dilakukan tanpa berasa segan kepada manusia sekitarnya. Diri kita berasa seolah-olah kembali kepada zaman firaun semula. Apa tidaknya, pengakuan seorang manusia yang lemah sebagai tuhan telah berlaku di zaman ini. Inilah kerosakan aqidah yang paling nyata.
Sebagaimana contoh-contoh yang telah diutarakan di bahagian hadapan esei ini, kita dapat lihat betapa tipisnya iman seseorang sehinggakan ada yang tergadai maruah keimanan yang telah diterap sejak kecil. Di sini, kita dapat lihat beberapa contoh kerosakan aqidah yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Antaranya:

(1) Mengaku Allah menjelma di dalam diri.
(2) Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.
(3) Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamal sekarang diambil terus dari Rasulullah s.a.w. secara jaga (Yaqazah).

(4) Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan dengan demikian didakwa pasti masuk syurga.
(5) Memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru atau menganggapkan bila sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.
(6) Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.

(7) Mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah, tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat yang lain.
(8) Mengubah dengan sengaja ayat Al-Quran dan maksudnya.
(9) Mengaku dan mempercayai bahawa azimat (tangkal) boleh memberi kesan.

(10) Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya ada batinnya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar.
Namun di sini kita tidak berhasrat untuk memperkenalkan kumpulan atau intipati ajaran-ajaran menyeleweng ini satu persatu, sebaliknya kita akan menumpukan perbincangan bagaimana keutuhan akidah mampu menyelamatkan ummah daripada ancamannya.

5.1  Akidah ajaran pertama dalam Islam

Bila kita mengkaji aspek pendidikan dalam Islam berdasarkan al-Quran, Sunnah dan sirah Rasulullah s.a.w., kita dapati bahawa akidah dan keimananlah yang menjadi teras utama proses pendidikan yang dilalui oleh para Sahabat sebelum penekanan diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti hukum, muamalat, perundangan dan seumpamanya. Oleh sebab itu ayat-ayat al-Quran yang dikenali sebagai Makkiyyah, iaitu yang diturunkan sebelum peristiwa Hijrah ke Madinah lebih menumpukan persoalan akidah dan keimanan di samping persoalan akhlak terpuji. Ayat-ayat tersebut pula selalunya pendek-pendek, tegas, penuh dengan bunga bahasa dan rima-rima akhir yang menarik perhatian pendengar atau pembaca. Sebagai contoh, mari kita lihat makna beberapa ayat terawal surah yang pertama diturunkan, Surah al-‘Alaq yang bermaksud:

“(1) Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (2) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, (3) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (4) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (5) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq: 1-5)

Dengan mentadabbur ayat di atas, dapatlah kita memahami beberapa ajaran dalam konteks untuk memantapkan akidah seseorang muslim;

  1. Kita hendaklah memulakan pembacaan atau apa sahaja amalan baik dengan menyebut nama Allah s.w.t. kerana Dialah yang menjadikan kita daripada asalnya tiada.
  2. Asal kejadian manusia selepas Adam dan Hawwa’ adalah daripada seketul darah beku yang terbentuk daripada percantuman benih lelaki dan wanita dengan aturan Allah s.w.t.
  3. Allah s.w.t. amat mulia dan pemurah terhadap hamba-Nya, tidak kedekut, sentiasa memberi. Manusia tidak harus putus asa untuk terus membaca firman-Nya dan berdoa meminta daripada-Nya.
  4. Manusia menjadi pandai kerana diajar oleh Allah s.w.t. melalui cetusan idea akal yang sempurna dan dapat meluahkan idea tersebut melalui pen dan tulisan.
  5. Asalnya manusia tidak mengetahui apa-apa, Allah s.w.t.lah yang mengajar sehingga mereka menjadi bijak pandai.
 Secara kesimpulannya, setiap perbuatan yang tidak bersumber dari aliran aqidah, maka perbuatan itu tidak bernilai dan sia-sia belaka. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 18 yang bermaksud:
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti abu ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang.mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia.)”

6) PENUTUP

Ibarat kata pepatah, tertegaknya pokok kerana akarnya, kukuhnya rumah kerana tiangnya. Begitulah juga cemerlangnya seseorang itu adalah berasaskan kepada aqidah yang murni. Aqidah memainkan peranan yang yang penting dalam kehidupan seharian kita sebagai muslim dalam mencapai kecemerlangan yang hakiki. Di antara peranan aqidah adalah seperti berikut. Pertama, aqidah yang murni dapat mewujudkan ketenangan di dalam jiwa setiap muslim. Firman Allah,
(الرعد : 28)الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Yang bermaksud : (orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah , ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia)
Ketenangan jiwa inilah yang dicari oleh setiap insan di dunia ini. Apabila manusia hidup di dalam ketenangan, jiwanya akan sentiasa tenteram, maka seluruh kerjanya menjadi mudah.
  Aqidah yang murni juga akan mewujudkan kekuatan jiwa. Hal ini kerana, seseorang yang beriman kepada Allah bukan sahaja memperoleh sesuatu kekuatan yang unik ,malahan mereka tidak akan merasa susah untuk melaksanakan perintah Allah. Firman Allah:
وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُواْ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُواْ إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلاَ تَتَوَلَّوْاْ مُجْرِمِينَ
(هود : 52)
Yang bermaksud : Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!
 Apabila kekuatan jiwa ini digunakan, maka akan terbentuklah satu masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang kerana telah berjaya menguasai segenap ruang ilmu yang dipelajari. Dengan mempunyai aqidah yang murni dapat memupuk semangat berkorban di kalangan kita. Hal ini kerana, orang yang  mempunyai aqidah yang mantap, sanggup berkorban apa saja samaada harta atau jiwa raga semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Firman Allah:
(إبراهيم : 7)وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Yang bermaksud:
Dan tatkala tuhanmu memberitahu “ demi sesungguhnya ,jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras”


 RUJUKAN
MEDIA CETAK

Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari.  Al-Wajiiz fii Aqiidatis Salafis Shaalih (Ahlis Sunnah wal Jama'ah), atau Intisari Aqidah Ahlus Sunah wal Jama'ah), terj. Farid bin Muhammad Bathathy. Pustaka Imam Syafi'i.
Abdullah Yusuf Azzam. Aqidah Asas Wawasan Ummah. ter. Ahmad Nuryadi Asmawi. Batu Caves: Pustaka Ilmi. 
Ismail Bin Omar. 1999. Manhaj Aqidah Ahli As-Sunnah Wal Jamaah. Edisi Pertama. Shah Alam : Acces Infotech (M) Sdn. Bhd.
Ramli Awang. 2005.Akidah Penghayatan Tauhid Al-Quran. Edisi Pertama. Johor Bahru : Cetak Ratu
Rasul bin Dahri. 2002. Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah Mengikut Manhaj Salaf As-soleh. Johor Bharu: Perniagaan Jahabersa.
Sayid Sabiq. 1974. Aqidah Islam (Ilmu Tauhid). Edisi Pertama.Bandun: Deponegoro.

Sayid Sabiq.1997. Aqidah Islam, Pola Hidup Manusia Beriman. Kuala Lumpur : Pustika Jiwa Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment