Thursday, May 1, 2014

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

PENGENALAN

 Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dahulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Idea penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dicetuskan pada tahun 1979 setelah penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Kebangsaan, berdasarkan dokumen-dokumen dasar dan berlandaskan ketiga-tiga ideologi negara, iaitu; Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (Rancangan Malaysia Ketiga pada 1976-1980) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1999). Penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengambil berat tentang keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.


KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

 Falsafah Pendidikan Kebangsaan berasal daripada tiga perkataan, iaitu falsafah, pendidikan dan kebangsaan.
E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter(1984) mengujarkan falsafah sebagai usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap variasi item. Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya falsafah Pendidikan (1984 ) meletakkan falsafah sebagai pertimbangan asas dan andaian berkenaan pertimbangan terhadap perkara yang penting.
Perkataan “pendidikan” pula mengikut bahasa Latin, bermaksud “memelihara atau mengasuh”. Definisi “Falsafah Pendidikan” diertikan oleh Yusuf al-Qardawi (1980) sebagai “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku.” Jelaslah bahawa falsafah pendidikan bertindak sebagai medium pembentukan insan yang mulia memandangkan falsafah melibatkan dua cakuman utama, iaitu teologi dan sains. (Russel, 1946).
 “Kebangsaan” secara generalnya diertikan sebagai sesuatu yang universal, dan ditimbalbalikkan dengan negara secara keseluruhannya.
Kajian definisi dan kelompok rujukan cabang berkenaan menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi rujukan para guru dalam merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada negara Malaysia yang rancak membangun. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidikan.


UNSUR-UNSUR YANG TERDAPAT DALAM FALSAFAH
PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan negara kearah membentuk satu sistem pendidikan yang seimbang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi asas dan sumber inspirasi kepada semua rangka kearah pembangunan pendidikan ini sebenarnya mempunyai beberapa unsur-unsur penting yang perlu difahami oleh setiap ahli masyarakat sama ada warga pendidik, para pelajar, mahupun sesiapa sahaja rakyat Malaysia.
 Unsur yang pertama ialah “Pendidikan Suatu Usaha Berterusan”. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai keliang lahad” merupakan satu ungkapan yang sangat sesuai bagi menterjemah isi penting ini. Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat iaitu bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada dirumah lagi. Pendidikan awal ini penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti (Ee Ah Meng, 2003). Setelah meninggalkan alam persekolahan, seseorang itu akan terus mencari ilmu dengan menghadiri forum, bengkel, seminar dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa proses pendidikan itu terus berlangsung.
 Unsur kedua Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memperkembang potensi individu. Potensi individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur intelek, jasmani, emosi, dan rohani. Melalui pendidikanlah potensi individu boleh di perkembangkan dan di gilap. Unsur jasmani ialah unsur fizikal individu iaitu berkaitan anggota tubuh badan. Perkembangan dan kecerdasan fizikal amat penting untuk kecerdsan mental kerana ianya merupakan satu perkara yang amat berkait rapat. Unsur emosi pula ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi kawalan kuat kepada semangat perpaduan dan sebagainya. Perkembangan emosi yang sempurna mampu untuk mengawal tingkah laku yang baik.
Unsur rohani pula merangkumi unsur berkaitan kalbu iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Unsur rohani ini lebih menjurus kepada amalan keagamaan. Unsur terakhir ialah unsur intelek iaitu berkaitan daya berfikir. Intelek penting kerana dengan unsur intelek, pelbagai masalah sukar dapat diselesaikan dengan tepat. Semua unsur-unsur ini membantu dalam perkembangan potensi individu dan menjadi asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Perkembangan potensi individu telah membawa kepada perkembangan unsur ketiga iaitu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini merangkumi perkembangan individu yang maksima pada jalan atau cara yang tepat bagi membantu menggilap potensi yang ada dalam diri individu tersebut.
Unsur keempat ialah insan yang seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai jasmani, emosi, rohani dan intelek yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat.
Unsur seterusnya iaitu unsur kelima ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Perkara ini memberi penekanan kepada beberapa perkara penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusi dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama, dan yang terakhir sekali ialah sentiasa mengukuhkan kepercayaan beragama.
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan ialah unsur seterusnya iaitu unsur keenaam. Berilmu pengetahuan yang dimaksudkan disini ialah mereka yang sentiasa bersedia berkongsi ilmu dan menggunakan ilmu untuk manfaat bersama. Antara ciri-ciri individu yang berilmu pengetahuan ialah individu yang mencintai ilmu pengetahuan, minat mentelaah, berfikiran global, berusaha berkongsi ilmu dan menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.
Unsur yang ketujuah ialah rakyat Malaysia yang berketrampilan iaitu rakyat yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, malahan rakyat yang mahir dalam melakukan tugasan dan mampu menjadi rakyat yang inovatif. Selain itu, rakyat yang berketrampilan juga merupakan rakyat yang melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan adanya kemahiran yang tepat dan bersesuaian dengan kehendak. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia merupakan unsur yang seterusnya dimana perkara utama yang dituntut adalah rakyat yang mampu untuk menilai mana satu yang baik dan mana satu yang buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
Mengetahui tugas dan tanggungjawab merupakan amanah yang wajib dilaksanakan dengan sempurna merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam unsur ke sembilan iaitu unsur rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Undang-undang, perlembagaan negara perlulah dihoramati dan dipatuhi agar keamanan negara, perpaduan kaum dan kemasyhalatan masyarakat dapat dijaga dan diteruskan. Rakyat Malaysia yang mampu menikmati kesejahteraan diri iaitu yang berupaya menangani masalah hidup, mampu berfikir secara waras, mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain merupakan ciri-ciri bagi unsur kesepuluh.
Unsur yang terakhir iaitu unsur ke sebelas ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, dan negara. Wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan akan membantu pembangunan negara dengan melahirkan keluarga yang harmoni dan mempunyai nilai-nialai murni seperti semangat kerjasama dan perpaduan. Perkara yang lebih penting ialah adanya rakyat yang mampu menguasai teknolongi dan ilmu-ilmu lain bagi memaksimakan pembangunan negara kita.
Kesimpulannya, bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu kerana 4 elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.


CARA-CARA GURU MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

       Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mengandungi beberapa matlamat iaitu mengembangkan potensi individu secara menyeluruh, menjadikan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, melahirkan insan yang berilmu, berakhlak, bertanggungjawab dan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap terhadap keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya semua matlamat ini tidak akan tercapai seandainya para guru tidak memainkan peranannya dengan ikhlas dan sempurna.
 Justeru, guru wajib memainkan beberapa peranan bagi merealisasikan semua matlamat ini, antaranya:
1)    Memperkembang diri dan murid secara holistik.
Matlamat utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk mengembangkan potensi indivindu secara menyeluruh yakni merangkumi aspek  jasmani, emosi, rohani dan intelek. Jasmani murid boleh diperkembang melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Manakala emosi, rohani, dan intelek pula boleh diperkaya dengan melibatkan murid dalam setiap aktiviti pengajaran dan program-program ilmiah seperti forum, pidato atau debat. Di sini, guru harus menggerakkan murid dengan memberi rangsangan, tunjuk ajar dan pengukuhan supaya murid akan sentiasa bersemangat untuk terlibat dalam sebarang aktiviti kokurikulum . Ini secara tidak langsung dapat membantu murid berfikiran terbuka, berfikiran cerdas dan tergolong dalam golongan kelas minda pertama.

2)    Memupuk cinta murid terhadap ilmu dan peribadi mulia.
Untuk melahirkan murid yang berilmu, guru perlu menanamkan minat murid terhadap ilmu sedari Tahun Satu lagi. Peringatkan murid dengan sabda Nabi Muhammad  SAW, "Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahukan dunia dan akhirat, dengan ilmu.” Guru harus menekankan kepentingan ilmu pada murid kerana ia tiket kejayaan dunia dan akhirat. Penelitian harus diberikan ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ini kerana apabila P & P itu berjalan dalam suasana yang menyeronokkan, murid akan teruja dan cenderung untuk terus menimba ilmu.

3)    Menyemai rasa cinta terhadap diri, masyarakat dan negara.
Guru itu tugasnya bukanlah terhad di dalam kelas kerana ia perlu mengajar, mendidik dan memimpin. Tugas mengajar itu agak terbatas dan perlu disempurnakan di dalam kelas, tetapi tugas mendidik dan memimpin sentiasa berterusan walaupun murid tidak berada di kawasan sekolah. Guru perlu menyedarkan murid bahawa setiap insan itu diciptakan untuk beribadah yakni untuk mentadbir dunia sepertimana yang diajar dalam Islam:
(( وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَانَ إلَا لِيَعْبُدُونَ..))
“Tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia itu selain untuk beribadah”
Nilai-nilai kesedaran ini perlu selalu diterap agar fikiran murid menjadi tidak sempit dan hanya memahami bahawa tujuan mereka ke sekolah adalah sekadar memenuhi rutin harian.

4)    Guru perlu menunjukkan sifat perkerti yang mulia.
Guru yang akan ditugaskan untuk mendidik dan membimbing anak bangsa hendaklah disemai dengan sifat-sifat yang mulia. Hal ini kerana, untuk membentuk murid yang berakhlak mulia seperti yang diinginkan dalam falsafah kebangsaan, maka para guru perlulah menunjukkan sikap yang baik supaya dapat dicontohi oleh para pelajar.

5)    Guru juga perlu berpandangan progresif dan saintifik.
Guru yang berpandangan futuristik akan sentiasa menokok tambah ilmunya dengan membaca dan menghadiri seminar dan bengkel. Dengan itu, dia sentiasa menyedari perkembangan baru dalam arena pendidikan dan dapat memainkan peranan sebagai seorang innovator. Hal ini amat penting kerana untuk membentuk pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan, para guru perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya.

6)    Guru juga perlulah melahirkan suatu masyarakat  yang progresif.
Dalam pengajaran guru, kaedah inkuiri (penemuan) dan kaedah dapatan hendaklah ditekankan. Ini perlu untuk memupuk sifat gemar menyiasat dan mereka cipta . Sifat-sifat ini adalah sesuai dengan hasrat mengembangkan anggota-anggota masyarakat yang berpotensi tinggi dan seimbang dari segi intelek.

7)    Guru juga perlu melahirkan suatu masyarakat yang berdisiplin
Unsur disiplin memang sentiasa dititkberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kegiatan-kegiatan bilik darjah tidak dapat berjalan dengan lancer tanpa disiplin. Walau bagaimanapun, guru hendaklah menitikberatkan nilai-nilai seperti ketepatan masa dalam kalangan pelajarnya. Amalan ini membolehkan pelajar membesar menjadi ahli-ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.


KESIMPULAN

  Setelah disoroti Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari setiap inci, jelaslah menunjukkan bahawa ia mengandungi unsur-unsur penting untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap ahli masyarakat amnya dan para pendidik khususnya. Matlamat utamanya cuma satu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara harmonis yang dihuni oleh rakyat yang berilmu, berbudi dan berjasa.

  Sesungguhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan kepada para pendidik untuk terus produktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti pendidikan samaada dalam bidang kokurikulum mahupun kurikulum. Pendidikan pada hakikatnya bermula dari ibu bapa, namun di zaman terkini,  guru dilihat sebagai pendidik primer memandangkan masa murid di sekolah lebih banyak berbanding di rumah. Justeru, guru tidak harus memandang remeh akan panduan yang telah diberi kerana mereka adalah harapan untuk memacu generasi ke arah kehidupan yang berilmu.
 
  Kesimpulannya, kewujudan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadikan sistem pendidikan Malaysia sebuah sistem yang disegani kerana ia menganjakkan diri ke kedudukan yang tertinggi iaitu universiti. Justeru, ia hendaklah sentiasa diletak di hadapan agar pendidikan negara akan terus gemilang melahirkan insan cemerlang dalam sebuah negara yang terbilang.
`

RUJUKAN

Ee Ah Meng,(2003) Ilmu Pendidikan Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas,Fajar Bakti Sdn.Bhd: Shah Alam.
Ee Ah Meng,(2000) Pendidikan di Malaysia 1, Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah,ed.2, Fajar Bakti Sdn.Bhd: Shah Alam.
Hasnah Hussin, Mardiana Nordin(2007)  Pengajian Malaysia,50 Tahun Penerbitan Di Malaysia 1957-2007, Oxford Fajar Sdn.Bhd: Shah Alam.
Mardiana Nordin, Hasnah Hussin(2004) Pengajian Malaysia, ed.2,Fajar Bakti Sdn.Bhd: Shah Alam.
Mok Soon Sang, Lee Shok Mee,(1989) Pendidikan di Malaysia,ed.3,Kumpulan Budiman Sdn.Bhd: Kuala Lumpur.
Ragbir Kaur Joginder Singh,(2010) Panduan Ilmu Pendidikan Komprehensif Untuk KPLI (Sekolah Rendah), Kumpulan Budiman Sdn.Bhd: Kuala Lumpur.
Sufean Hussin,(2004) Pendidikan di Malaysia, Sejarah, Sistem dan Falsafah,ed.2,Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

RUJUKAN INTERNET

upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php


No comments:

Post a Comment