LAPORAN KEM BINA INSAN GURU
SIRI 6/2010
INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS DARULAMAN
PENGENALAN
Untuk membina insan
guru yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta cemerlang dalam semua
aspek, seseorang guru itu perlulah menjalani latihan dari segi mental dan
fizikal yang bersesuaian sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran profession
perguruan masa kini. Bertunjangkan kepada objektif pendidikan negara yang
menginginkan insan guru yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya
tahan, maka, bakal guru diwajibkan untuk mengikuti Program Bina Insan Guru
(BIG) bagi memenuhi syarat mendapat Diploma Perguruan Malaysia.
Maka pada tanggal 12 Julai 2010 sehingga 15 Julai 2010, pelajar Kursus Perguruan Lepas Ijazah
(KPLI) ambilan Jun 2010 dan seorang pelajar KDPM/KDC telah menjalani program
Bina Insan Guru siri ke-6 untuk tahun 2010 yang telah dijalankan di Tapak
Perkhemahan Sri Banai selama 4 hari 3 malam. Pelajar yang terlibat dalam
program kali ini ialah dari kelas KPLI Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni
Visual. Program ini disertai seramai 35 orang peserta yang mana terdiri daripada
12 orang pelajar lelaki dan 23 orang pelajar perempuan dari pelbagai kaum,
iaitu Melayu, Cina, dan India.
Program ini berada di bawah jagaan Kem Komandan iaitu
Encik Nashri bin Yaakob serta Ketua Jurulatih iaitu Encik Zulkifli bin Mat
Isa.Turut serta dalam program ini ialah mentor bagi kedua-dua kumpulan iaitu
Puan Majdah binti Mohammad, mentor bagi kumpulan Pendidikan Islam, dan Tuan
Haji Badarudin bin Yeop, mentor bagi kumpulan Pendidikan Seni Visual. Dengan adanya program ini, diharapkan para pelajar KPLI
Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni Visual dapat membentuk peribadi seorang
insan guru yang berwawasan, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia dan
bertanggungjawab.
Di samping itu, diharapkan pelajar KPLI Pendidikan Islam dan
Pendidikan Seni Visual dapat menjadi modal insan yang mantap dari aspek
kerohanian dan nilai etika keguruan yang selaras dengan norma-norma kehidupan
serta dapat meningkatkan daya ketahanan dan membina keyakinan diri dalam menghadapi
cabaran semasa untuk mencapai cita-cita murni membentuk peribadi seorang insan
yang berwawasan seterusnya membantu merealisasikan wawasan negara selaras
dengan Falsafah Pendidikan Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
LAPORAN KEM BINA INSAN GURU SIRI 6/2010
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS DARULAMAN
HARI : ISNIN
TARIKH : 12 Julai
2010 (Hari Pertama)
TEMPAT : TAPAK
PERKHEMAHAN SRI BANAI
MASA : 8.00 PAGI –
12.00 TENGAH MALAM
8.00 pagi -2.30 petang.
Hari ini merupakan hari pertama saya dan rakan-rakan berada
di Kem Sri Banai. Pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing. Namun,
keseronokan dan semangat yang berkobar-kobar untuk bersama mengharungi segala
rintangan yang mendatang telah memadamkan segala persoalan yang terbuku di
minda. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Selepas selesai mengangkat
barang-barang keperluan ke kem, dan mendaftarkan diri, program ini dimulakan
dengan perhimpunan yang diadakan di dewan terbuka Kem Sri Banai bersama Kem Komanden,
Ketua Jurulatih, mentor, serta beberapa orang jurulatih yang akan melatih kami
sepanjang program B.I.G ini. Kami diberi taklimat ringkas serta kata-kata
semangat oleh Kem Komandan iaitu Encik Nashri bin Yaakob. Selepas itu, kami dibahagikan mengikut kumpulan aktiviti dan
diberi tugasan untuk menjalankan aktiviti membersihkan kawasan sekitar kem,
seperti menyapu sampah dan memungut ranting-ranting pokok yang berselerakan di
situ. Ada juga sebahagian peserta mengangkat barang-barang serta alatan daripada
bilik setor GERKO. Semasa menjalankan aktiviti ini, kerjasama yang diberikan oleh semua peserta
sangat menggalakkan.
Selesai membersihkan kawasan, kami semua telah diajar
cara-cara mendirikan khemah oleh Encik Yahya bin Bidi. Di situ, kami dapat mengetahui
tentang peralatan dan ikatan yang diperlukan untuk mendirikan sesebuah khemah.
Kami memberikan sepenuh tumpuan supaya kami dapat mendirikan khemah dengan
betul. Walaupun saya sudah mempunyai pengalaman mendirikan khemah jenis ‘Dome
Tent’, namun saya sangat teruja mendengar penerangan yang diberikan kerana, ini
merupakan kali pertama saya belajar mendirikan khemah jenis ‘A-Frame’. Walau
bagaimanapun, saya tidak dapat turut serta bersama kawan-kawan untuk mendirikan
khemah, kerana saya terpaksa bergegas ke dapur untuk membuat persiapan makan
tengahari. Walaupun agak letih kerana banyak tenaga telah digunakan semasa
aktiviti sebelum ini, tetapi saya dan rakan-rakan tetap berasa gembira dan
bersemangat. Saya berasa amat seronok kerana apa juga tugas yang diberikan,
saya dan kawan-kawan tetap bekerjasama bagi menyiapkannya. Ibarat kata pepatah,
“berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Selepas kawan-kawan siap
mendirikan khemah, saya dan tiga rakan yang lain telah siap menyediakan makan
tengahari. Semasa makan, kami diminta menunggu kawan-kawan yang lain untuk
makan bersama-sama.Semasa makan, saya lihat semangat perpaduan yang ditunjukkan
oleh para peserta kem di mana, peserta Melayu, Cina dan India dapat duduk
bersama-sama menjamu selera. Hal ini selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang mementingkan perpaduan.Setelah selesai menjamu selera, kami
diberi masa untuk pengurusan kendiri seperti solat, mandi dan sebagainya.
2.30 petang -7.30 petang
Jam 2.30 petang kami diminta berkumpul untuk upacara menaikkan
bendera sebagai tanda program ini telah bermula dengan rasminya. Aktiviti ini
dikendalikan oleh Kem Komanden, iaitu Encik Nashri bin Yaakob. Manakala ketua
kawad pada masa itu ialah peserta KPLI Pendidikan Seni Visual iaitu Cik Noor
Ramadhah bt Yusoff. Saya dapat merasakan semangat patriotisme dalam diri saya
semakin bertambah dan saya pasti rakan-rakan saya juga begitu. Dalam aktiviti
ini, saya dapat mengetahui bagaimana protokol untuk istiadat menaikkan bendera
dijalankan. Saya sangat teruja mendapat pengalaman seperti ini. Selepas itu,
kami diberikan taklimat mengenai peraturan-peraturan semasa program ini
dijalankan oleh salah seorang jurulatih. Ini untuk memastikan program ini
berjalan dengan lancar. Setelah upacara menaikkan
bendera selesai, kami semua bergerak ke dewan terbuka Kem Sri Banai untuk
mengikuti aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK 1).
Aktiviti LDK 1 ini
dikendalikan oleh Cik Herna dan tiga orang rakannya yang lain. Mereka merupakan
mahasiswa Universiti Utara Malaysia yang sedang menjalankan praktikum di Unit
Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPDA. Ketua LDK dan program Jati Diri ini diketuai oleh
Ustazah Nazrah Yusof. Antara aktiviti yang dilakukan semasa LDK 1 ini ialah ice
breaking, di mana para pelajar dikelaskan mengikut bulan kelahiran, makanan
kesukaan, dan bilangan ke berapa dalam anggota keluarga. Dalam aktiviti ini,
saya dapat mengenali siapa di antara kami yang mempunyai persamaan dari bulan
kelahiran dan lain-lain lagi. Saya juga dapat mengetahui pelajar yang menyukai
makanan yang sama seperti saya. Aktiviti ini juga dapat mengeratkan lagi
hubungan di antara kami. Saya bersama empat orang kawan yang lain seperti biasa
tidak dapat mengikuti aktiviti ini sehingga tamat, kerana perlu menyiapkan
makan malam kepada kawan-kawan. Setelah aktiviti ini tamat, kami bersama-sama
menunaikan solat asar, diikuti dengan makan malam. Selepas itu, upacara
menurunkan bendera dilaksanakan. Kami diberi masa untuk menguruskan diri
sebelum bersama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah. Manakala, bagi yang
bukan muslim, mereka perlu mengikuti slot motivasi bersama Cik Herna.
7.30 petang – 11.30 malam.
Selesai solat
maghrib berjemaah, kami diberi santapan rohani oleh Ustaz Hafedz bin Salleh.
Beliau memberi tazkirah berkaitan dengan masyarakat Islam pada hari ini.
Pelbagai pengajaran dapat kami ambil dari sesi tazkirah ini. Setelah selesai
solat Isyak, kami bersama rakan yang lain mengikuti aktiviti LDK 2 yang masih
juga dikendalikan oleh Cik Herna. Jam 11.30 malam, kami semua bergerak ke
khemah masing-masing bagi merehatkan diri dari penat seharian. Yang tinggal
hanyalah beberapa orang rakan yang bertugas menjaga khemah.
HARI : SELASA
TARIKH : 13 Julai
2010 (Hari Kedua)
TEMPAT : TAPAK
PERKHEMAHAN SRI BANAI
TAMAN TASIK DARUL
AMAN
MASA : 3.00 PAGI –
12.00 TENGAH MALAM
3.00 pagi – 5.30 pagi
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Kami semua dikejutkan
oleh seorang jurulatih iaitu Encik Mohd. Azman bin Basirun. Kami diberi tugasan
untuk mencari lagu patriotik bagi kumpulan kami. Kami juga perlu membuat pergerakan
bagi lagu yang kami pilih. Lagu ‘Inilah Barisan Kita’ menjadi pilihan kami.
Setelah pergerakan diperoleh, dan dipersembahkan di hadapan jurulatih, kami
semua diberi kebenaran untuk kembali ke khemah masing-masing. Pada waktu itu,
giliran saya dan empat orang kawan yang lain untuk menjaga khemah.
5.30 pagi- 7.30 pagi
Bermula jam 5.30 pagi, saya bersama anggota kumpulan
bertugas untuk menyediakan makan tengahari kami memandangkan kami akan
mengikuti aktiviti air pada jam 10.30 pagi nanti. Apa yang saya nampak, kami
dari pelbagai kaum dapat bekerjasama menyediakan makanan tengahari walaupun
pada waktu awal pagi. Selepas itu, saya bersama rakan-rakan muslim yang lain
menunaikan solat subuh berjemaah dan
diikuti dengan tazkirah yang diberikan oleh peserta kem iaitu Ustaz Zuzalee bin Ariffin.
7.30 pagi – 3.30 petang
Setelah itu, kami semua berkumpul untuk menikmati sarapan
pagi. Seterusnya kami bersama-sama berkumpul di hadapan tiang bendera bagi upacara menaikkan bendera dan kawad kaki.
Setelah selesai, Tuan Haji Badarudin Bin Yeop pula memberi taklimat mengenai
aktiviti air yang bakal kami ikuti nanti. Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami
berangkat ke Taman Tasik Darul Aman menaiki bas IPDA. Setelah tiba di sana,
kami sekali lagi diberi taklimat mengenai aktiviti air ini dan cara pemakaian
jaket keselamatan. Sebelum bergerak ke dalam air, kami bersama-sama melakukan
senaman pagi yang dikendalikan oleh pelajar dari kelas Pendidikan Seni Visual.
Mereka mengendalikan aktiviti ini dengan baik sekali. Aktiviti ini sangat
bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perkembangan
dari aspek jasmani. Selepas itu, kami bergerak mengikut kumpulan masing-masing
bagi menjalani aktiviti di dalam air. Di antara aktiviti yang perlu kami ikuti
ialah ‘Water Confidence’, berkayak dan merentas air menggunakan tali. Aktiviti
ini dikendalikan oleh jurulatih air iaitu Encik Abdul Shukor Bin Zainal Abidin
dan Encik Azemi Bin Abdullah serta dipantau oleh mentor bagi kedua-dua
kumpulan. Banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat kami kutip dari aktiviti
ini. Antaranya, semangat bekerjasama di antara ahli kumpulan, dan sikap tolong
menolong. Mana-mana rakan yang dahulunya fobia kepada air, sudah mula dapat
membiasakan diri dengan air. Inilah
pengalaman yang paling manis buat kami. Setelah selesai makan di pulau tasik
itu, kami bertolak balik ke kem.
3.30 petang – 7.30 petang
Setelah
selesai membersihkan diri dan menunaikan solat zohor, , kami diajar pula cara
ikatan dan simpulan oleh Encik Mohd Azman bin Basirun. Namun saya tidak dapat
menghabiskan sesi tersebut kerana bergegas untuk menyiapkan minum petang. Dalam
kesibukan menyediakan makanan, saya dan rakan yang lain juga diajar cara ikatan
dan simpulan oleh Encik Nashri. Kami meneruskan lagi aktiviti pada petang itu
dengan slot Jati Diri 1. Aktiviti ini sekali lagi dikendalikan oleh Cik Herna
dan rakan-rakannya. Dalam aktiviti ini, kami semua mendengar cerita tentang
kisah ‘Cikgu Sunan’. Kisah ini berkisarkan tentang bagaimana kasih sayang
seorang murid yang bernama Alias terhadap gurunya serta binatang peliharaannya,
dan juga tentang keperihatinan seorang guru terhadap anak muridnya. Kisah ini
amat menyentuh perasaan dan dapat dijadikan iktibar oleh kami bakal guru.
Sebelum aktiviti ini tamat, saya bersama anggota kumpulan masak yang lain
bergegas ke dapur untuk menyediakan makan malam.Seterusnya, saya bersama rakan
yang lain menunaikan solat asar berjemaah di surau berhampiran. Kami berkumpul
semula untuk upacara menurunkan bendera diikuti dengan makan malam bersama-sama.
7.30 petang – 11.30 malam
Setelah masuk
waktu maghrib, kami bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti
dengan sesi tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Mohd Hafedz bin Salleh. Beliau
memberi tazkirah mengenai persediaan guru-guru muslim dalam menghadapi
masyarakat di luar. Tazkirah yang mengandungi kata-kata nasihat itu amat berharga bagi kami bakal guru.
Setelah
selesai solat Isyak, kami berkumpul semula bersama rakan-rakan yang bukan
muslim bagi mengikuti aktiviti Jati Diri 2 yang juga dikendalikan oleh para
mahasiswa UUM. Dalam aktiviti ini, kami diberikan beberapa rangsangan yang
berkaitan dengan sikap seorang guru. Kami perlu mengeluarkan ciri-ciri guru
yang kami suka dan tidak suka. Kami juga perlu membentangkan hasil perbincangan
kami di hadapan kawan-kawan. Dalam aktiviti ini, kami didedahkan dengan
sikap-sikap guru yang sepatutnya, dan juga sikap yang tidak sepatutnya. Ini
merupakan salah satu daripada aktiviti untuk membina jati diri seorang guru
agar menjadi guru yang berkualiti. Pada akhir aktiviti, kami diberikan tajuk
bagi malam kebudayaan. Setiap kumpulan diwajibkan mempersembahkan puisi, sketsa
dan nyanyian yang bertemakan ‘Satu Malaysia’. Para peserta mengambil masa yang
ada untuk berbincang mengenai apa yang akan dipersembahkan pada malam
kebudayaan itu nanti.
Sebelum
kembali ke khemah untuk tidur, kami menjamah makanan yang telah disediakan.
Kami perlu menghabiskan setiap lauk pauk, nasi, dan bubur yang disediakan. Di
sini, saya nampak kerjasama di antara kami yang berusaha untuk menghabiskan
semua makanan yang masih berbaki. Alhamdulillah, semuanya habis dimakan. Semua
pelajar bergerak ke khemah masing-masing meninggalkan peserta yang bertugas
untuk berjaga malam. Semua peserta perlu tidur awal untuk mendapatkan rehat
yang cukup bagi mengikuti aktiviti darat pada keesokan hari.
HARI : RABU
TARIKH : 14 Julai
2010 (Hari Ketiga)
TEMPAT : - TAPAK
PERKHEMAHAN SRI BANAI
- GUA
KERBAU, KODIANG.
MASA : 5.30 PAGI –
3.00 PAGI
5.30 pagi – 7.30 pagi
Hari ini
merupakan hari ketiga kami berada di Tapak Perkhemahan Kem Sri Banai. Hari-hari
yang dilalui memberikan kami banyak pengetahuan dan pengalaman yang baru. Setelah berkumandang azan subuh, saya bersama
rakan yang lain bergerak ke surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah
diikuti dengan sesi tazkirah yang diberikan oleh peserta program, dari kelas
Pendidikan Islam, iaitu Ustaz Mohd Arif bin Deraof. Beliau memberi tazkirah
yang berkisarkan tentang persoalan mengenai Islam oleh orang bukan Islam.
Tazkirah itu dikendalikan secara dua hala di mana kami sebagai pendengar juga
boleh memberikan pandangan mengenai soalan yang diberikan. Alhamdulillah,
banyak ilmu yang kami dapat dari sesi tazkirah ini.
7.30 pagi – 3.30 petang
Selesai solat
dan sesi tazkirah, kami bersama kawan-kawan yang lain berkumpul untuk upacara
menaikkan bendera, kawad kaki dan sarapan pagi. Setelah itu, kami semua
berkumpul untuk mendengar taklimat mengenai aktiviti darat yang bakal kami
lalui nanti. Kami seterusnya dibawa ke Gua Kerbau, Kodiang iaitu tempat di
antara negeri Perlis dan negeri Kedah. Perjalanan yang mengambil masa lebih
kurang setengah jam memberikan kami peluang untuk melelapkan mata di atas bas.
Akhirnya, kami tiba di hadapan tanah sawah yang menghijau. Kami diarahkan untuk
melalui sawah tersebut dengan berjalan kaki. Walaupun terasa penat, namun keseronokan
terasa apabila kami melihat kehijauan di sekeliling.
Aktiviti kami
diteruskan lagi dengan cabaran merentas sungai. Alhamdulillah, segala ilmu dan
pengalaman yang kami perolehi sewaktu di Taman Tasik Darul Aman dapat kami
gunakan di sini. Seorang demi seorang dilepaskan untuk merentas sungai
tersebut. Setelah itu, kami diarahkan untuk berjalan merentasi air parit yang
berdekatan sebelum menemui Gua Kerbau.
Apabila tiba
di hadapan Gua Kerbau, saya dan rakan-rakan amat teruja dengan keindahan bentuk
semula jadi gua tersebut. Kemudian, kami diarahkan untuk berada dalam kumpulan
masing-masing bagi mengikuti aktiviti meredah gua dan hutan. Di sini, kami
ditemani oleh mentor bagi kedua-dua kumpulan sebagai pembakar semangat untuk
melaksanakan aktiviti yang mencabar ini. Dimulai dengan kumpulan satu, diikuti
oleh kumpulan dua, seterusnya kumpulan saya, iaitu kumpulan tiga. Penerokaan di
dalam gua dimulai dengan merangkak kerana bahagian yang kami lalui terlalu
rendah dan gelap. Di situ saya dapat lihat semangat berpasukan di antara kami
di mana bekerjasama untuk memudahkan rakan yang lain untuk menghadapi cabaran
gua yang rendah dan gelap itu.
Perjalanan
masih diteruskan dengan mendaki kawasan luar gua yang dipenuhi dengan flora.
Tiba di atas, kami amat teruja melihat keindahan ciptaan Allah yang menghijau.
Keindahan ini memberikan kami ketenangan lantas menghilangkan penat yang
mencengkam jiwa. Kami diberi penerangan mengenai jenis-jenis gua yang ada di
situ seperti Gua Aircond, dan Gua Pelamin. Dalam perjalanan ini, kami juga perlu
merentasi satu parit yang berisi lumpur yang dalam untuk sampai ke bawah gua.
Setelah selesai aktiviti darat ini, kami bertolak pulang dengan berjalan kaki
lebih kurang dua kilometer untuk sampai ke pintu hadapan gua, tempat kami
memulakan perjalanan tadi. Dalam perjalanan balik, ada seorang peserta wanita
pengsan kerana terlalu letih. Saya melihat ahli kumpulan beliau bersama-sama
membantunya untuk meneruskan perjalanan. Inilah semangat yang perlu diterapkan
dalam setiap diri bakal guru.
Tiba di
hadapan gua, Encik Mohd Zahir bin Mohd Darus selaku Ketua Induk makanan
telahpun menyediakan kepada kami makanan tengahari. Tanpa berlengah, kami
bersama-sama menjamu selera. Selesai makan, kami bertolak pulang ke kem dengan
menaiki bas yang disediakan. Peluang kedua diambil untuk melelapkan mata dan
merehatkan badan yang keletihan.
3.30 petang – 7.30 petang
Tiba di tapak
perkhemahan, kami terus membersihkan diri, solat dan sebagainya. Setelah itu,
kami diberi masa untuk masuk ke dalam kumpulan masing-masing untuk berbincang
mengenai persembahan yang akan dipersembahkan pada malam kebudayaan nanti.
Kumpulan saya memilih lagu dan puisi dari tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India
untuk dipersembahkan pada malam itu. Kami juga membuat lakonan mengenai tiga
keluarga yang berbilang kaum.
Seperti biasa, saya sebagai ketua bahagian makanan perlu
membantu ahli kumpulan yang bertugas untuk masak makan malam. Kami bersama-sama
menyediakan menu bihun goreng dan udang goreng tepung untuk makan malam.
Setelah selesai menyediakan juadah makan malam, kami bergerak untuk menunaikan
solat asar. Sepas itu, kami sambung semula perbincangan mengenai persembahan di
malam kebudayaan. Tepat jam 6.30 petang, upacara menurunkan bendera dimulakan.
Kami semua bergerak untuk pengurusan kendiri seperti mandi dan sebagainya.
7.30 malam – 3.00 pagi
Setelah
selesai azan maghrib, kami bersama-sama menunaikan solat maghrib berjemaah di
surau. Selepas itu, kami kembali ke dewan untuk membuat persiapan terakhir bagi
aktiviti malam kebudayaan dan penutupan program. Saya dan beberapa orang rakan
yang lain meneruskan kerja kami di dapur iaitu menghabiskan kerja-kerja yang
masih berbaki.
Jam
menunjukkan pukul 9.00 malam. Selepas selesai menyediakan makan malam, kami
diminta untuk berkumpul di dewan bagi sesi malam kebudayaan. Hampir semua jurulatih dan mentor turut
hadir pada malam tersebut. Malam kebudayaan membuka tirainya dengan ucapan
daripada Pengerusi Program iaitu Khartigayan A/L Pasupathy, kemudian daripada
Kem Komandan iaitu Encik Nashri Bin Yaakob. Akhir sekali ucapan daripada
Pengarah IPDA yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPDA iaitu Encik Ahmad Shukri Mustaffa yang mana seterusnya
merasmikan majlis ini. Selesai upacara perasmian tersebut, kami bersama-sama
menjamu selera.
Selesai menjamu selera, bermulalah sesi
persembahan bagi setiap kumpulan.Terdapat pelbagai ragam yang ditunjukkan bagi
menambat hati para juri. Setelah tamat persembahan bagi kumpulan pertama, kami
dikejutkan oleh kedatangan Pengarah IPDA. Walau bagaimanapun, kedatangan beliau
ke majlis ini amat kami hargai. Setelah selesai setiap persembahan, dan diadili
oleh juri-juri professional yang terdiri daripada jurulatih program, maka,
diumumkan bahawa pemenang tempat pertama bagi persembahan di malam kebudayaan
ini jatuh kepada kumpulan saya iaitu kumpulan tiga. Kumpulan yang mendapat
tempat kedua dimenangi oleh kumpulan satu, dan akhir sekali, yang mendapat
tempat ketiga adalah kumpulan dua. Peserta terbaik dalam kalangan kami
dimenangi oleh Noor Ramadhah bt. Yusoff.
Selesai sesi malam kebudayaan ini, kami
bergegas untuk menunaikan solat isyak, dan seterusnya berkumpul semula bagi
sesi bersama jurulatih. Dalam sesi ini, jurulatih telah merangka pelbagai
aktiviti seperti pertandingan berbalas teka-teki, mengenali suara jurulatih
dengan mata tertutup, dan permainan menguji minda menggunakan sifir dan angka
tujuh. Semua aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara jurulatih
dan para peserta.
Jam 3.00 pagi, kami semua dikehendaki
menghabiskan makanan yang masih berbaki. Dengan semangat bekerjasama, kami
semua dapat menghabiskan semua makanan tersebut. Setelah itu, kami semua
kembali ke khemah masing-masing untuk merehatkan diri. Seperti biasa, para
petugas yang menjaga khemah mengambil tempat masing-masing untuk berjaga.
HARI : KHAMIS
TARIKH : 15 Julai
2010 (Hari Keempat)
TEMPAT : TAPAK
PERKHEMAHAN SRI BANAI
MASA : 5.30 PAGI –
11.00 PAGI
Hari ini
merupakan hari terakhir kami di sini. Saya dan AJK makanan bergegas menyediakan
nasi lemak bagi santapan kami pada pagi ini. Sesudah azan subuh berkumandang,
kami bersama rakan yang lain menunaikan solat subuh secara berjemaah. Selesai
solat subuh, kami bersama-sama berkumpul untuk upacara menaikkan bendera dan
kawad kaki. Selepas itu kami bersama menjamu selera buat kali yang terakhir.
Setelah itu,
kami semua diarahkan untuk meruntuhkan khemah dan membersihkan kawasan kem
seperti di surau, tandas, dapur dan tapak perkhemahan. Kerjasama di antara kami
dapat dibuktikan apabila tapak perkhemahan itu kemas dan tersusun seperti waktu
kami mula hadir di situ. Setelah selesai, kami berkumpul semula untuk akiviti post
mortem dan upacara penutupan kem. Selesai upacara tersebut, kami semua
bersama-sama mengangkat barang-barang yang dipinjam dari setor GERKO. Lebih
kurang jam 11.30 pagi, kami semua bersurai membawa seberapa banyak ilmu dan
pengalaman yang kami perolehi di kem
tersebut. Sesungguhnya, pengalaman ini amat berharga buat kami dalam mendidik
diri menjadi insan guru yang berwawasan dan semestinya tidak akan kami lupakan.
Terima kasih buat para jurulatih yang telah melatih kami, juga terima kasih
diucapkan kepada mentor yang sentiasa bersama menemani kami di sini. Terima
kasih juga kepada rakan-rakan yang telah bekerjasama dalam menjayakan program
ini.
PENUTUP
Saya
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya saya dapat
mengikuti segala aktiviti dalam progam ini secara berterusan. Jutaan terima
kasih kepada kem komandan, para jurulatih, mentor, fasilitator dan semua
rakan-rakan kerana telah banyak membantu dalam melaksanakan aktiviti ini dengan
jayanya. Tanpa jasa dan usaha dari kalian semua, program ini tidak akan dapat
mencapai objektifnya. Jutaan terima kasih juga ditujukan khas buat kedua ibu
bapa saya serta ahli keluarga kerana telah menyokong saya dan tidak jemu-jemu
memberi semangat dalam melalui kehidupan di bumi IPDA ini. Sekalung doa dan
penghargaan dari saya buat kalian semua.
Akhir kalam,
saya berharap agar segala ilmu yang saya perolehi di kem Bina Insan Guru ini
akan dapat saya gunakan dalam membina jati diri seorang pendidik anak bangsa.
REFLEKSI KENDIRI
Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan
saya peluang untuk menjadi salah seorang daripada warga IPDA di mana saya dapat
bersama-sama untuk menyertai Program Bina Insan Guru yang telah selesai
dilaksanakan dengan jayanya. Jutaan terima kasih ditujukan khas buat ibu bapa,
mentor dan rakan-rakan kerana banyak membantu dalam menyiapkan tugasan ini. Alhamdulillah, hasil bantuan daripada kalian
semua, akhirnya tugasan ini dapat disiapkan dalam masa yang diberikan.
Program Bina Insan Guru ini telah memberikan saya banyak
ilmu dan pengalaman yang berharga dalam mendidik diri menjadi seorang insan
guru yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya tahan yang boleh
mendidik murid dengan cekap dan berkesan.
GOTONG ROYONG
Pelbagai pengajaran dan pengalaman dapat kami kutip
melalui program ini. Bermula daripada aktiviti gotong-royong kawasan, telah
mendidik kami supaya bekerjasama dan menanamkan sikap pentingkan kebersihan.
Semangat kerjasama juga dapat dilihat ketika kami bersama-sama mendirikan khemah.
LATIHAN DALAM KUMPULAN 1
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang pertama, dimana kami dapat mengenali
antara satu sama lain. Ini dapat memupuk semangat bekerjasama dalam pasukan
kerana setiap individu mengenali individu yang lain. Aktiviti ini juga memupuk
perasaan kasih sayang kepada rakan sepasukan. Ibarat kata pepatah, ‘tak kenal
maka tak cinta’. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan di antara kami walaupun
daripada kelas yang berbeza.
LATIHAN DALAM KUMPULAN 2
Seterusnya LDK 2, di mana kami perlu meggunakan tali dan
marker untuk menulis nama kumpulan. Aktiviti ini mengajar kita berfikir cara
penyelesaian masalah, bekerjasama dalam kumpulan, dan bertindak mengikut
arahan.
AKTIVITI AIR :
‘WATER CONFIDENT’
Dalam
aktiviti ini, kami diminta untuk masuk ke dalam air bagi menguji tahap
keberanian kami. Cabaran untuk berada di dalam air seperti meniarap, berbaring
dan memasukkan kepala di dalam air merupakan aktiviti yang benar-benar menguji
keberanian kami. Terdapat beberapa pelajar di antara kami yang begitu fobia
terhadap air. Walaupun begitu, melalui aktiviti ini, saya dan rakan-rakan yang
lain tidak henti-henti memberi semangat dan sokongan kepada rakan yang fobia
tersebut. Dengan kata-kata semangat daripada kami, rakan yang pada mulanya
takut kepada kedalaman air, sudah mula dapat membiasakan diri dengan keadaan
sekeliling. Semangat setiakawan dan bantu membantu dalam aktiviti amat saya
kagumi.
BERKAYAK
Aktiviti ini
merupakan di antara aktiviti yang menarik kerana setiap peserta dapat merasai
peluang berkayak. Pembahagian kumpulan satu dan dua yang membezakan di antara
ketinggian, kebolehan berenang dan berat badan telah banyak membantu dalam
melaksanakan aktiviti ini. Semasa berkayak, saya tidak mempunyai masalah
komunikasi dengan pasangan. Komunikasi yang baik di antara kami jelas dapat
mengawal pergerakan kayak dengan sebaik yang mungkin. Arahan ‘kiri, kanan,
kiri, kanan’ daripada pasangan berkayak memudahkan lagi pergerakan kami.
Aktiviti ini mengajar kami supaya mendengar arahan dengan betul supaya tidak
terpesong ke arah lain. Sikap bantu-membantu dalam kalangan peserta juga dapat
diterapkan. Selain itu, kami juga diajar cara untuk menterbalikkan kayak
sekiranya kami terjatuh daripada kayak. Inilah pengalaman yang bernilai bagi
setiap peserta kerana dapat mengetahui selok belok berkayak.
MERENTASI TASIK MENGGUNAKAN TALI
Dalam
aktiviti ini, kami dilepaskan seorang demi seorang untuk merentasi tasik
bermula di pulau yang berhampiran hinggalah ke tebing. Tahap keyakinan dan
keberanian yang tinggi dalam diri amat diperlukan agar aktiviti ini dapat
dijalankan dengan mudah. Saya amat teruja untuk melakukan aktiviti ini kerana
di situ saya dapat mengetahui tahap keberanian saya apabila berada berseorangan
di tengah-tengah tasik. Walaupun terdapat gangguan daripada pihak jurulatih
dengan menggunakan bot, namun, kami para peserta tetap cekal dan mampu untuk
menghabiskan aktiviti ini. Saya dan rakan yang lain tidak jemu-jemu memberi
semangat kepada setiap peserta. Ini membuatkan perasaan gentar dan takut hilang
begitu saja. Apa yang saya dapat lihat, semangat daripada pihak rakan inilah
yang amat diperlukan ketika kita keseorangan di dalam kesulitan.
BERENANG
Sewaktu aktiviti ini dijalankan, sebahagian
peserta iaitu dari kumpulan tiga perlu membawa balik kayak ke tepian. Ketika
kawan-kawan berenang dari pulau untuk ke tepian tasik, kami yang berkayak tidak
putus-putus memberikan semangat kepada rakan-rakan untuk meneruskan aktiviti
renang. Setelah ramai yang sudah tiba di tepian, terdapat tiga orang peserta
yang masih lagi berenang. Sorakan semangat memenuhi ruang tasik tersebut.
Bantuan daripada dua peserta lelaki dan dua peserta wanita memudahkan lagi
perjalanan bagi ketiga-tiga peserta tersebut.
JATI DIRI 1
Aktiviti ini
mengandungi cerita tentang keperibadian seorang guru yang bernama Cikgu Sunan
dalam menangani masalah anak muridnya, Alias. Kisah ini banyak memberi
pengajaran kepada kami supaya mengambil berat tentang kebajikan para pelajar
tidak kira samada miskin atau kaya. Sikap Cikgu Sunan yang buruk sangka terhadap anak muridnya mengundang padah. Ini
memberikan kami pengajaran supaya tidak berburuk sangka kepada setiap pelajar.
Walaupun begitu, sikap Cikgu Sunan yang pergi menziarahi anak muridnya yang
berhenti sekolah perlulah dijadikan ikutan. Saya tertarik kepada pengorbanan
yang ditunjukkan oleh Alias dengan mencederakan beruk kesayangannya sehingga
mati semata-mata ingin menyelamatkan Cikgu Sunan. Peristiwa ini menjadi bukti
betapa pentingnya ikatan kasih sayang dan pengorbanan di antara guru dan murid.
JATI DIRI 2
Dalam
aktiviti ini, kami diberi beberapa rangsangan untuk mengeluarkan ciri-ciri guru
yang paling kami sayang dan ciri-ciri guru yang kami tidak sukai. Setiap
kumpulan mempunyai cadangan masing-masing lalu dibentangkan di hadapan peserta.
Apa yang saya lihat, kesemua ciri-ciri yang baik itu perlulah dicontohi oleh
kami bakal guru, manakala ciri-ciri yang kurang baik perlulah dijauhi.
AKTIVITI DARAT:
MERENTASI SUNGAI
Aktiviti ini
dimulai dengan perjalanan merentasi kehijauan sawah. Kami dapat melihat
keindahan sawah yang terbentang luas di samping dapat menghirup udara segar.
Seterusnya kami perlu merentasi sungai dengan menggunakan tali. Aktiviti ini
merupakan kesinambungan kepada aktiviti merentas tasik yang telah kami lakukan
sehari sebelum. Pengalaman di tasik tersebut kami jadikan panduan untuk
memudahkan pergerakan. Seperti biasa, seorang demi seorang dilepaskan untuk
merentasi sungai tersebut. Sorakan kata-kata semangat daripada kawan-kawan
mengiringi setiap peserta. Semangat berpasukan melatih kami supaya saling bantu-
membantu dalam apa jua situasi.
MENJELAJAH GUA KERBAU
Aktiviti
kemuncak ini bermula dengan merangkak ke dalam gua kerbau. Ketua kumpulan telah
dilantik bagi memudahkan segala urusan. Keadaan gua yang agak sempit, rendah
dan gelap menyebabkan kami sukar untuk meneruskan perjalanan. Namun, semangat
yang membara dari setiap ahli kumpulan memudahkan perjalanan kami. Dalam
aktiviti ini, sikap tolak ansur dan bantu-membantu di antara ahli kumpulan amat
penting. Apa yang saya dapat di sini ialah semangat bekerjasama dan sedia
mendengar arahan dari ketua membuatkan pergerakan kami berjalan dengan lancar.
Aktiviti meredah hutan juga memberikan kami banyak pengalaman yang baru.
Perkongsian air dan biskut di antara ahli kumpulan dapat merapatkan lagi
hubungan kami. Sama-sama merasa penat, sama-sama merasa nikmat. Di sini, saya
amat teruja melihat perpaduan antara tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
Sewaktu
perjalanan balik ke pintu utama gua, kami terpaksa menyusuri satu parit yang
mempunyai lumpur yang amat dalam. Ketika itu, saya merupakan salah seorang yang
kehilangan kasut kerana tenggelam di dalam lumpur. Namun, apa yang membuatkan
saya terharu adalah bantuan daripada kawan-kawan dengan memberikan tapak kasut,
malahan ada yang sanggup meminjamkan kasutnya kepada saya di pertengahan jalan.
Budi dan jasa kalian amat saya hargai. Pada masa yang sama juga, saya lihat
beberapa peserta sedang membantu peserta wanita yang jatuh pengsan. Apa yang
saya dapat di sini adalah, semangat bantu-membantu dan bekerjasama di antara
peserta tanpa mengira kaum amatlah penting dalam memastikan segalanya berjalan
lancar.
MALAM KEBUDAYAAN
Aktiviti ini telah
berjaya menyatukan kami sebagai satu Malaysia di mana kami bersama-sama
mempersembahkan puisi, sketsa dan nyanyian dalam versi tiga kaum. Terasa masa
yang diberikan terlalu singkat untuk berlatih. Walaupun sukar untuk
melaksanakannya, namun semangat perpaduan yang tinggi telah dapat membuang
segala kepayahan tersebut. Dalam aktiviti ini juga, saya dapat pelajari
beberapa perkataan daripada Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Perasaan sedih
menguasai diri memandangkan inilah malam terakhir kami bersama. Saya akui bahawa program ini bukan sahaja
telah menyatukan kami dari kedua-dua kelas Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni
Visual malahan, telah menyatukan kami yang datang dari pelbagai kaum.
AKTIVITI MEROBOHKAN KHEMAH
Aktiviti ini
mengajar kami supaya bekerjasama dalam melaksanakan tugasan seperti merobohkan
khemah, mencuci tandas, dapur dan kawasan sekitar khemah. Sikap menjaga
kebersihan telah diterapkan melalui aktiviti sebegini. Semangat tolong-menolong
dalam menyelesaikan tugasan yang terakhir memberikan kenangan manis yang tidak
akan saya lupakan.
KEKUATAN PROGRAM
Alhamdulillah,
setelah berlangsung selama 4 hari 3 malam, akhirnya program ini telah dapat
dilaksanakan dengan jayanya. Di sini, saya dapat menyelitkan beberapa kekuatan
yang memberikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya.
1) Sikap bekerjasama dan
toleransi antara satu sama lain memudahkan setiap tugasan dijalankan.
2) Para pensyarah
yang berpengalaman menjadikan program ini dapat dilaksanakan mengikut ketetapan
objektifnya.
3) Pengurusan masa
yang baik memberikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar.
4) Penerapan nilai-nilai
murni seperti berdisiplin, dan hormat-menghormati dapat diserapkan.
KELEMAHAN PROGRAM
Walaupun
banyak kekuatan yang saya dapat lihat dalam program ini, namun terselit
beberapa kelemahan yang mana harus kita sama-sama atasi.
1) Arahan yang tidak
beberapa jelas dari pihak jurulatih seperti arahan bagi kedudukan khemah
peserta.
2) Keadaan khemah
yang terbuka (tidak mempunyai penutup hadapan) memberikan kesukaran pada
peserta wanita terutama yang beragama Islam untuk berehat.
3) Aktiviti Latihan
Dalam Kumpulan yang dikendalikan oleh mahasiswa UUM ternyata terlalu ringan dan
kurang sesuai bagi masa-masa tertentu membuatkan para peserta berasa bosan dan
mengantuk.
PENAMBAHBAIKAN
1) Para jurulatih
sebaiknya memberikan arahan yang jelas kepada pada peserta supaya setiap
tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.
2) Pemilihan khemah
serta kedudukan khemah yang sesuai bagi peserta wanita.
3) Pemilihan
fasilitator yang berpengalaman dalam menjalankan aktiviti LDK.
RUMUSAN KESELURUHAN
Secara
keseluruhannya, Program Bina Insan Guru ini telah memberikan banyak faedah dari
segi ilmu dan pengalaman kepada saya. Aktiviti seperti Latihan Dalam Kumpulan,
Jati Diri, aktiviti air dan darat, memberikan kami banyak pengalaman dan
pengajaran yang baru sebagai persediaan untuk menjadi guru yang bermotivasi
tinggi dalam menghadapi era globalisasi. Program ini juga dapat menyatupadukan
kami dari berbilang kaum menjadi satu pasukan yang mampu bekerjasama, toleransi
serta mengambil berat antara satu sama lain. Ini telah dapat dibuktikan dalam
setiap aktiviti yang telah kami lalui di mana semangat bekerjasama serta saling
menyokong antara satu sama lain tak pernah hilang dari jiwa setiap peserta.
Keputusan supaya setiap peserta diberi tugasan untuk menyediakan makanan harian
memberikan peluang kepada kami untuk menunjukkan bakat dalam bidang masakan.
Malahan, ada juga beberapa peserta yang tidak pernah masuk ke dapur, sudah
dapat membiasakan diri dengan tugasan sebegini. Secara kesimpulannya, program
ini ternyata telah dapat mencapai objektifnya.